“Jamal, dulu kan dalam 10 tahun lepas, aku ingat lagi aku pernah post kat Google Plus+ pasal daily life aku. Tapi dalam Circle aku takde sorang pun respond” Kata Husin sambil ketawa.
“Kau cerita apa ni Mat, apa Plus? Circle apa benda?”. Balas Jamal sambil angkat kening.
Teknologi bergerak seiring zaman. Kadangkala terdapat teknologi yang melangkau beberapa zaman dan masa tetapi kebanyakan teknologi ini tak bertahan lama. Teknologi juga bukanlah sesuatu bentuk kesempurnaan. Ini kerana ciptaannya lahir daripada beberapa buah fikiran manusia serta memerlukan tempoh masa percubaan. Ada juga yang cuba menginovasikan daripada ciptaan terdahulu.
Jom kita mengimbau kenangan 5 teknologi yang dicipta tak bersesuaian dengan waktu dan zaman.
BERAKHIR DAN DILUPAKAN
Berikut merupakan 5 teknologi yang tak panjang umur. Kebanyakannya direka dan diperkenalkan untuk bersaing dalam bidang industri dan mahu menjadi pilihan alternatif teknologi sebelumnya.
1. Google Glass – Futuristik, tapi tak mampu milik
Kaca mata masa depan dengan fungsi capaian Internet. Google Glass telah dilancarkan oleh Google pada tahun 2013 dan prototaipnya mempunyai jualan terhad pada tahun yang sama. Reka bentuknya yang menarik dan didakwa sebagai ciri yang canggih menjadikan gajet ini menarik perhatian ramai. Namun, jangka hayat kaca mata ini berakhir akibat terlalu mahal dan tak memberikan fungsi optimal. Baterinya juga hanya mampu bertahan 2 jam je.
2. Google Plus – Facebook Versi Google
Cuba bersaing dengan FB tetapi gagal. Hampir 90 peratus pengguna hanya mendaftar dan mengguna lebih dari 5 saat sahaja. Paparan pemuka yang tak mesra pengguna dan terlalu rumit membuatkan pengguna lari dan membiarkan akaun Google Plus mereka sunyi sepi. Lahir pada 2011, dan pada tahun 2020 Google menukar Google Plus menjadi Google Current.
3. PULS Watch – Fesyen sambil berteknologi
Gelang tangan, ya bukan jam tangan tapi gelang tangan berserta sokongan kad sim daripada ahli kumpulan Black Eyed Peas iaitu Will.i.am. Bercita-cita tinggi mahu menggantikan telefon pintar, Will.i.am mempromosikan PULS Watch sebagai satu-satunya gadget yang wajib anda bawa keluar dan akan menggantikan telefon pintar. Malangnya teknologi ini gagal setelah menerima banyak review buruk dan tak mencapai standard seperti yang dijanjikan. Menaip mesej menggunakan keyboard di gelang tangan ini membuatkan ramai pengguna stress.
4. Microsoft Zune – Kembar iPod
Peranti muzik daripada Microsoft ini dicipta untuk bersaing dengan iPod keluaran Apple. Gagal kerana banyak laporan pepijat dan kurang berinovasi. Zune dikeluarkan pada 2006, manakala iPod keluaran Apple, dikeluarkan pada Oktober, 2001 dan sudah tentu telah mengalami banyak perubahan dan ciri tambahan yang semakin diminati oleh penggunanya. Kelewatan kemunculan Zune adalah antara punca produk Zune kurang menarik di pasaran, kerana produk MP3 Player telah dikuasai oleh iPod sejak tahun 2001 lagi.
5. Samsung Galaxy Note 7 – Telefon ke bom tangan?
Siapa masih ingat tentang kes telefon pintar ini yang meletup? Kecoh satu dunia sehinggakan Samsung menarik balik keberadaan telefon pintar ini daripada digunakan. Samsung juga memberhentikan pengeluaran telefon pintar ini. Punca utama daripada bateri tetapi tak dinyatakan secara rasmi oleh pihak Samsung. Samsung Galaxy Note 7 menjadi titik hitam buat Samsung sehingga kini menjadi bualan penggemar teknologi. Telefon pintar ini juga dilarang dibawa ke dalam kapal terbang pada masa itu.
TEKNOLOGI BEREVOLUSI : ADA YANG MENJADI ADA YANG TAK
Kebanyakkannya teknologi ini gagal kerana kurang inovasi. Gagal kerana pembuatan dan penciptaan pra matang dan keadaan pasaran yang masih tak bersedia dengan teknologi tersebut seperti Google Glass. Oleh itu, peranan inovasi dan pemasaran yang tepat menjadi kunci utama kebolehpasaran sesuatu teknologi.
Tetapi teknologi berinovasi daripada kegagalan. Seperti penawaran jam tangan pintar yang lebih banyak fungsi dan semakin menjadi trend untuk penjagaan kesihatan. Begitu juga dengan capaian internet, jika dulu kita ada 2G, GPRS, 3G dan sekarang sehingga 4G dan 5G dengan infrastruktur yang tersedia daripada kerajaan, teknologi akan terus berkembang dari semasa ke semasa.