“Eh apa benda ni lampu kelip-kelip belakang lampu tidur ni?? Ya ampun, kameraaaa!!”
Malaysia memang terkenal dengan cuti umum yang banyak. Hujung tahun, cuti sekolah, long weekend dan sebagainya, masa inilah yang paling best digunakan untuk melancong dan tak terkecuali juga pengembara solo. Tapi dialog di atas ini, menyeramkan, lagi-lagi untuk solo traveller. Memang mengerikan tak kiralah ketika menginap di luar negara atau dalam negara. Ambil contoh macam kes kamera tersembunyi bilik persalinan baru-baru ini. Mana tahu semasa anda melancong tu ada kamera tersembunyi di hotel atau tandas yang memerhati juga.
Tapi tak akan itu nak dijadikan kekangan untuk melancong kan? Jadi faktor keselamatan perlu dititikberatkan ketika melancong terutamanya bila anda melancong secara solo. Jadi jom tengok apa tips yang anda boleh guna sebagai pengembara solo!
TIPS SEMASA DI HOTEL
#1 Elak Bilik Di Ground Floor
Memang lah mudah nak angkut luggage atau barang, tapi anda kena sedar juga bila anda di Ground Floor risau juga bilik anda mudah dipecah masuk. Sebolehnya elak pilih bilik hampir dengan pintu masuk, dan ambil tingkat yang pertengahan. Jika ambil paling atas, risau susah pula jika berlaku kecemasan lain.
#2 Periksa Bilik Dengan Teliti
Sampai saja di bilik anda, jadikan tabiat untuk periksa bilik. Pastikan tiada laluan atau lubang yang ada potensi untuk dicuri masuk. Pastikan juga semua kunci atau keypad di pintu berfungsi dengan baik dan faham macam mana nak gunakan. Periksa di belakang bingkai gambar, lampu bilik tidur, lampu di siling, di belakang pendingin hawa, di almari pakaian dan juga keseluruhan bilik air. Risau kalau ada kamera tersembunyi. Ada tau aplikasi yang boleh bantu semak semua ini, teruskan membaca.
#3 Rahsiakan Nombor bilik
Tempat pun baru, orang pun ramai yang tak dikenali, jadi kena hati-hati dan jangan sekali-kali dedahkan nombor bilik atau elak nombor bilik daripada terdedah. Nombor bilik membahayakan keselamatan anda untuk individu yang berniat tak baik. Pastikan semasa anda masuk bilik, perhatikan keadaan sekelling dan juga sesiapa saja yang mencurigakan. Kalau ada, tukar haluan dan pergi ke tempat ramai orang. Minta bantuan petugas hotel untuk iring anda ke pintu bilik.
#4 Kongsi Lokasi Pada Orang Dipercayai
Ini penting untuk solo traveller, jangan lupa beritahu butiran lokasi anda kepada keluarga atau sesiapa yang anda percayai. Jika terjadi sesuatu, mereka ada nombor telefon hotel, alamat, dan nama hotel anda untuk membuat tindakan selanjutnya.
#5 Ambil Gambar Sebelum Boarding atau Tinggalkan Bilik
Kalau melancong ke mana-mana pun, kita akan ambil masa untuk biasa dengan tempat yang kita lawati. Untuk elak daripada tersesat, boleh lah anda ambil gambar bilik hotel atau laluan ke hotel. Macam yang ramai lakukan di pusat beli-belah di Malaysia. Gambar menaiki kapal terbang (boarding) juga sangat membantu untuk anda beritahu orang dipercayai yang anda dah selamat berlepas. Ini juga penting supaya anda dapat membuktikan sekiranya barang-barang anda hilang di bilik hotel ketika anda keluar berjalan-jalan.
#6 Sentiasa Berada di Sisi Beg/Luggage
Bila sendirian dan sentiasa dalam mod awas, memang mudah penat. Tapi jangan lupa untuk sentiasa pastikan beg anda berada dekat pada anda dan terkunci rapi. Tak kira di lapangan terbang, lobi hotel dan sebagainya. Risiko kecurian barang atau sesuatu barang terlarang dimasukkan ke dalam beg anda mungkin juga ada. Ini penting kerana kegiatan keldai dadah berleluasa dan solo traveller mempunyai risiko tinggi dijadikan target sekiranya tak berjaga-jaga.
ELAK DIPERHATI DENGAN APLIKASI INI
Kadang-kadang kita tak dapat melihat dengan mata kasar sekiranya ada kamera tersembunyi. Iyalah, orang yang dah biasa buat kerja tak berfaedah ini ada je cara mereka nak improvise. Jadi, kita gunakan kemajuan teknologi menggunakan aplikasi-aplikas yang boleh anda muat turun untuk kegunaan bila melancong nanti. Bukan melancong je, nak staycation pun boleh!
#1 Spy Hidden Camera Detector – kalau anda tak kisah dengan aplikasi berbayar, anda boleh gunakan ini. Ia boleh guna pengesanan manual dan automatik. Pengesanan manual bantu anda mengesan kamera tersembunyi pada kanta yang mencurigakan. Pengesanan automatik akan menganalisis jika terdapat kamera tersembunyi di dalam bilik atau ruang.
Muat turun di iOS
#2 Hidden Spy Camera – Ubah iPhone anda menjadi pengimbas kamera tersembunyi. Hanya dengan satu klik, ia mengimbas, menganalisis dan mengesan peranti yang mencurigakan dengan cepat. Sesuai digunakan di bilik hotel, bilik persalinan, atau bilik mesyuarat.
Muat turun di iOS
#3 Hidden Device Detector Camera – Papan pemuka yang ringkas untuk peranti Android. Ada medan magnet yang mengesan peranti elektronik dengan mudah, terutamanya kamera. Boleh kesan mikrofon tersembunyi juga.
Muat turun di Android
AMBIL TAHU NOMBOR KECEMASAN & SENTIASA BERJAGA-JAGA
Melancong memang menyeronokkan, tapi perkara seperti keselamatan ini jangan diambil remeh. Ia boleh mengubah mood perjalanan anda. Jadi, perkara-perkara di atas antara perkara yang anda perlu ambil berat tentang keselamatan anda semasa mengembara sendirian. Selain menggunakan tips dan aplikasi penjejak kamera tersembunyi di atas, jangan lupa juga untuk menyimpan nombor telefon kaunter resepsi dan nombor kecemasan terdekat. Seperti balai polis, hospital dan sebagainya.
Dengan menggunakan aplikasi dan sambungan Internet yang baik, anda pastinya dapat mengurangkan lagi risiko bahaya semasa mengembara.
Selamat mengembara dan jaga diri!