Kecerdasan Buatan (AI) : Di Mana Malaysia Sekarang?

Teknologi & Kreatif

“Siri, call Mak”.

Anda pasti pernah gunakan ciri ini dan jika ya, anda telahpun menggunakan sistem AI. Teknologi ini sangat penting dan berpotensi besar dalam mengautomasikan operasi dan kerja. 

APA ITU AI (ARTIFICIAL INTELLIGENCE)

Artificial Intelligence (Kecerdasan Buatan) merupakan salah satu cabang sains dalam menjadikan sesuatu benda mempunyai kepintaran seperti manusia.  Antara cabang penting dalam AI ialah pembelajaran mesin (machine learning) iaitu keupayaan mesin yang mampu ‘belajar’ untuk menjadi pintar.  

Secara konsepnya, mesin yang bakal ‘diajar’ manusia perlu dilengkapkan dengan maklumat yang banyak untuk menjadikannya lebih pintar berbanding mesin lain. Dengan kata lain, mesin akan dilengkapkan dengan ribuan percubaan untuk menyelesaikan sesuatu tugas. Di sepanjang proses ini, mesin tersebut akan memahami dan mempelajari konsep untuk menyelesaikan tugas tersebut. 

PENTING KE TEKNOLOGI INI?  

Gambar menunjukkan robot AI menggunakan paparan pemuka virtual.
Gambar menunjukkan robot AI menggunakan paparan pemuka virtual
  • Ya, dengan mengautomasikan rutin, produktiviti pekerja bertambah dengan memfokuskan kepada pekerjaan yang lebih menarik dan memerlukan tumpuan yang lebih. 
  • Ini kerana menurut Mackinsley Global Institute, 50% masa kerja di Malaysia digunakan untuk kerja yang berulang. 
  • Evolusi teknologi pada hari ini sudah merangkumi kecerdasan pemproses komputer untuk mempelajari corak kehidupan manusia, sekali gus berupaya memudahkan urusan seharian.
  • Revolusi Industri 4.0 juga diramal akan bertitik tolak kepada kemampuan AI untuk memudahkan urusan pekerja serta mengelakkan daripada sebarang pertindihan tugas. 
  • 4IR adalah penggabungan teknologi merentas alam fizikal, digital dan biologi. la berkembang secara pesat hasil daripada keterbukaan dan kesalinghubungan dunia. Bidang pengetahuan baru muncul menghasilkan teknologi yang lebih baharu dan lebih baik secara berterusan. 

AI DALAM BUDAYA POP

“I’ll be back”, kata Arnold Schwarzenegger dalam filem Terminator: Judgement Day pada tahun 1991. Watak yang dibawa beliau merupakan robot daripada kecerdasan buatan. Atau apabila Theodore yang bercinta dengan Sistem Operasi (OS) dalam filem romantik HER. Di Malaysia juga ada rujukan kecerdasan buatan dalam budaya pop iaitu kaca mata Ejen Ali yang diberi nama IRIS yang membantu Ejen Ali menyelesaikan tugasan dengan menjangkakan pergerakan, menyimpulkan situasi dan memberi jalan penyelesaian kepadanya. 

Gambar menunjukkan cermin mata IRIS yang digunakan oleh Ejen Ali. Kredit imej daripada Google.
Gambar menunjukkan cermin mata IRIS yang digunakan oleh Ejen Ali. Kredit imej daripada Google.

PEMBANGUNAN DAN PENGGUNAAN AI DI MALAYSIA. 

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam pemerkasaan AI: 

  • Buktinya dengan penawaran kursus-kursus di intitusi pengajian tinggi seperti di Malaysia Multimedia University (MMU) yang menawarkan kursus Bachelor of Computer Science (Hons.) Artificial Intelligence serta di Universiti Malaya (UM) dan beberapa universiti lain. 
  • Penggunaan AI juga semakin meluas seperti  kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT Malaysia) dan Majlis Perbandaran Ipoh menggunakan aplikasi robot dan AI di pasar raya Amanjaya Ipoh. 
  • Sistem kawalan keselamatan AI yang dipasang melalui CCTV  boleh mengesan pergerakan yang mencurigakan dan menghantar amaran dalam waktu sebenar (real-time)
  • Ini dibangunkan oleh dua syarikat tempatan, Ideasparq Robotics Sdn. Bhd. dan Akar Indah Engineering Sdn. Bhd. dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC). 

MELANGKAH KE MASA DEPAN

Teknologi AI tanpa ragu-ragu bakal mengubah cara kita menguruskan kehidupan. Ia sudah pun berada dalam kehidupan seharian kita tanpa sedar. Salah satunya adalah dalam telefon pintar kita. Kewujudan teknologi ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa seiring dengan kehendak penggunaannya.  

Dengan Internet di rumah, sesiapa saja dari anak bersekolah sehingga dewasa dapat mengetahui bagaimana teknologi AI membangun dan cara untuk mengaplikasi dalam kehidupan harian atau membina kerjaya baru. Teknologi ini masih banyak potensinya, dan ia perlu diteroka sebaiknya agar terus memberi manfaat kepada manusia dan juga hidupan lain di bumi ini. 

Pilihan Menarik Untuk Anda