“Ready…Set.. Go!”
Pasti anda dapat bayangkan frasa ini yang biasanya bertemankan bunyi tembakan pistol. Situasi yang tak lain tak bukan menunjukkan larian dah pun bermula. Penonton kat tepi bersorak “You can do this!” Perkara normal bagi larian fizikal tapi bagaimana pula dengan larian maya? Larian maya atau dalam Bahasa Inggeris, “virtual run” ini sebenarnya dah berjaya menambat hati pelari sejak zaman pandemik COVID-19 melanda. Jom kita kupas lebih lanjut berkenaan larian fizikal versus maya. Mungkin anda bakal menjadi peminat tegar lepas ini?
KEBEBASAN BERLARI
Bayangkan, kita juga boleh memasuki pertandingan larian tanpa perlu berkumpul beramai-ramai dan bebas mengikuti jadual anda dan inilah fungsi virtual run! Boleh ikut kelajuan sendiri dan juga boleh berlari di kawasan awam ataupun di atas treadmill. Mudah bukan? Senang cerita, kalau anda berminat, anda boleh buat carian iklan-iklan virtual run di Google, media sosial dan aplikasi iOS dan Android.
KAT MANA NAK SERTAI?
Misalnya, FitMalaysia by KBS dan aplikasi tempatan seperti JomRun. Jangan terkejut, sebab virtual run ini selalunya berbayar dan memerlukan pendaftaran. Ada yang percuma, tapi tawarannya kurang menarik berbanding pakej berbayar. Manakala untuk jarak yang selalunya dipertandingkan adalah dalam lingkungan 10 kilometer ke 21 kilometer.
SIHATKAN BADAN, MEDAL CANTIK PUN DAPAT!
Punyalah seronok virtual run ini, bukan sahaja dapat menyihatkan badan, tetapi boleh tebus hadiah seperti plushies, pingat berfigura menarik dan sijil. Mesti anda tertanya, siapakah yang akan mengukur serta memerhati jarak dan masa kita berlari? Inilah kegunaan telefon dan jam tangan pintar anda. Kedua-dua alatan ini akan membantu menjejaki larian anda. Ikut saja arahan penganjur larian. Setelah selesai, jangan lupa untuk hantarkan rekod kepada pihak penganjur.
BEZA LARIAN FIZIKAL & MAYA DAN CARA SERTAI
Jadi, antara perbezaan bagi larian fizikal dan maya ini adalah daripada segi fleksibiliti masa, tempat, cuaca dan trafik. Bagi mereka yang kesibukan masa tetapi tetap ingin bersukan, virtual run sememangnya untuk anda. Selain itu, khususnya buat golongan suri rumah yang terlibat, ianya dapat membentuk hubungan bersama komuniti atas talian, sekaligus meningkatkan sokongan antara satu sama lain. Contohnya, set tempat dan masa untuk lari bersama.
BERSUKAN SEMAKIN MUDAH, TIADA LAGI ALASAN
Siapa sangka rupanya sukan pun boleh didigitalisasikan. Teknologi juga membantu rakyat Malaysia dalam sentiasa menitikberatkan tentang sukan dan menjadi sihat walaupun dalam kesibukan bekerja. Seiring dengan itu ia memberi rakyat Malaysia kemudahan dalam menikmati aktiviti di mana juga mereka berada di Malaysia.
Kewujudan sukan virtual juga dapat mendorong peningkatan akses bagi setiap rumah untuk memasang dan menaik taraf Internet mereka. Ini di mana sebuah inisiatif jalur lebar negara yakni NBI (National Broadband Initiative) memainkan peranan dalam melaksanakan peningkatan liputan akses Internet di seluruh Malaysia.
Jadi, tiada lagi alasan seperti “Jauhlah tempat itu, tak sempat nak bersukan sebab busy”. Virtual run sememangnya memudahkan. Jimat minyak, masa dan wang ringgit. Ingat, ini bukanlah soal nak kurus, tapi lebih kepada nak sihat. Jom jadikan virtual run sebagai gaya hidup yang baru sebab “Badan sihat, otak pun cerdas”!