Gemuk Sebab Derma Darah? Mitos!

Gaya Hidup & Kesihatan

“Jom Fiq, kat sana ada kempen derma darah” ajak Akif. 

“Tak nak, tak nak. Kau pegi sorang aku takut gemuklah” balas Fiq. 

“Weh kau ni, itu semua mitos jelah, ke kau takut jarum ni?” ujar Akif sambil ketawa.

Biar betul derma darah boleh sebabkan kegemukan? Salah ini. Ini antara salah satu mitos yang mungkin menyelubungi minda rakyat Malaysia. Kalau anda nak tahu bukan saja anda tak akan gemuk dengan menderma darah tapi anda akan selamatkan 3 nyawa setiap kali anda derma! 

Nak tahu apa lagi kebaikan menderma darah yang mungkin anda tak pernah dengar sebelum ini? Jom kita baca satu-satu :

Ilustrasi menunjukkan dua individu yang menderma dan menerima darah

MANFAAT MENDERMA DARAH YANG MUNGKIN ANDA JARANG DENGAR

#1 Tolong Orang, Umur Panjang

Amalan menderma darah adalah satu kegiatan altruistik yang bermaksud sifat suka menjaga kebahagiaan dan kebajikan orang lain. Amalan ini memberikan satu kepuasan dan kegembiraan di mana ada kajian yang mengatakan kegiatan altruistik dikaitkan dengan kesihatan yang baik dan umur yang lebih panjang. Menarik betul!

Ilustrasi menunjukkan seorang lelaki membantu seorang wanita

#2 Derma Darah, Bakar Kalori

Macam yang dikatakan di atas, menderma darah bukan penyebab kegemukan. Tapi ini pula yang akan terjadi bila anda menderma darah. Anda akan bakar kalori tau disebabkan sistem dalam badan yang akan bekerja keras untuk ganti semula sel darah atau sel plasma yang telah anda derma. Itu yang dikatakan oleh Dr Ahmad Wazir Aiman daripada Hello Doktor. 

Tapi janganlah pula jadikan aktiviti derma darah ini sebagai alternatif senaman ya sebab ia hanya boleh dilakukan sekali setiap 3 bulan. Jadi ia tidak membantu penurunan atau menyebabkan kenaikan berat badan. 

Ilustrasi menunjukkan pendermaan darah

#3 Risiko Berkurang, Jantung Terjaga

Amalan derma darah sekurang-kurangnya setahun sekali ini boleh kurangkan 88% risiko serangan jantung. Terutamanya untuk lelaki! Bila kita derma darah dengan konsisten, tahap Zat Besi dalam badan akan jadi terkawal. Bila Zat Besi dalam darah berlebihan, ia boleh merosakkan tisu dan organ serta berkemungkinan mengakibatkan serangan jantung. Kondisi ini juga dipanggil Hematomakrosis

Ilustrasi menunjukkan doktor dan jururawat sedang memeriksa jantung

Jadi jika anda menderma darah dengan kerap, pertukaran sel darah akan berlaku dengan lebih cepat dan dapat mengawal tahap Zat Besi dalam badan. Pengaliran darah juga akan jadi lebih lancar dan menghalang pengumpulan lemak dan kolesterol di jantung. Sekaligus mengurangkan risiko penyakit jantung. Bagus betu!

#4 Risiko Kanser Boleh Dikurangkan

Bukan saja Zat Besi berlebihan dalam darah berkemungkinan untuk mengakibatkan serangan jantung. Ia juga boleh meningkatkan risiko kanser. Menurut satu kajian daripada Jurnal National Cancer Institute, pesakit yang mengurangkan Zat Besi dalam darah melalui pendermaan mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat kanser berbanding pesakit yang tak menderma darah. Ini satu lagi motivasi untuk anda derma darah!

Ilustrasi menunjukkan tentang kesedaran penyakit barah

#5 Hello Sel Darah Baru! 

Secara mudahnya, apabila kita menderma darah, darah akan keluar daripada badan. Badan kita akan mendapat informasi untuk isi semula darah dalam badan. Jadi, secara semula jadinya, sel darah merah baharu akan terbentuk. Cuma biasanya, anda akan pening sebentar selepas menderma darah sebab darah dah kurang, tapi sekejap je jangan risau. Untuk memudahkan proses pembaharuan darah yang baru, anda disarankan untuk minum air yang banyak dan makan makanan yang tinggi zat besi. 

Ilustrasi menunjukkan komposisi darah

#6 Periksa Kesihatan Dengan Percuma!

Jangan salah anggap, ini bukan bermakna anda boleh skip pemeriksaan kesihatan tahunan dengan derma darah je tau. Pemeriksaan yang dimaksudkan adalah, doktor akan memeriksa anda untuk menentukan tahap kesihatan semasa seperti tekanan darah, berat badan, sejarah kesihatan, gaya hidup dan lain-lain. Selain itu, darah juga akan diuji untuk penyakit berjangkit. Anda juga boleh tahu kumpulan darah anda sebelum menderma bagi siapa yang tak pernah test. Sekiranya semua okay, anda akan dibenarkan untuk menderma!

Ilustrasi menunjukkan seorang doktor sedang melakukan pemeriksaan kesihatan

SYARAT-SYARAT UNTUK MENDERMA DARAH

Antara syarat-syarat untuk menderma adalah:

  • Berumur 17 tahun ke atas
  • Berat 45KG ke atas
  • Tidur minimum 5 jam 
  • Makan dalam masa 4 jam sebelum menderma darah

Untuk syarat-syarat yang lengkap anda boleh rujuk dokumen oleh Pusat Darah Negara di sini

BUKU MERAH? DAH TAK PERLU.

Masih ada buku merah? Eh bukan passport lah. Buku menderma darah, macam kat bawah ini. Kadang-kadang setiap kali nak derma mesti tak ada dalam beg. Iyalah, bukannya derma setiap hari, susah nak simpan rekod kalau tak bawa.

Gambar menunjukkan kad penderma fizikal. Kredit daripada Facebook Derma Darah Kelantan.

Tapi jangan risau, sekarang  dah tak perlu dah! Anda confirm tak akan tertinggal telefon di rumah kan? Jadi berita  baik untuk anda! Anda dah boleh rekod pendermaan anda di aplikasi MySejahtera. Buat mereka yang dah dapat vaksin secara menyeluruh, boleh dapatkan rawatan percuma seperti rawatan pesakit luar dan wad kelas kedua percuma dan percuma vaksin Hepatitis B. Rekod pendermaan pun disimpan secara digital dalam aplikasi. Mudah betul sekarang ini.

Ilustrasi menunjukkan pengumuman ciri terbaharu MySejahtera. Kredit imej daripada Twitter Mysejahtera.


Tapi, tak kesemua pusat kutipan darah boleh merekodkan pendermaan darah di dalam sistem MySejahtera. Hanya yang terpilih sahaja. Untuk melihat pusat derma yang terpilih dan soalan lazim anda boleh layarinya di sini.

APA LAGI? SEMAK KRITERIA DAN RANCANG UNTUK DERMA DARAH!

Pusat Darah Negara sentiasa memerlukan sumbangan orang ramai disebabkan hanya 2.5% je penduduk Malaysia yang menderma darah. Jadi bersamalah kita menderma darah untuk kebaikan bersama, lagi-lagi dengan liputan 5G yang semakin meluas di Malaysia. Mudah nak update rekod dalam aplikasi je. 
Untuk senarai penuh lokasi pusat derma darah boleh layari di sini. Jom kita derma darah!

Pilihan Menarik Untuk Anda