Dulu ke CC, Sekarang ke PEDi

Keusahawanan

“Belajar business online Shopee kat sini. Alhamdulillah tak payah pergi jauh-jauh dan bayar mahal. Sini RM5 je, lepastu nak masuk apa-apa kelas percuma. Macam-macam kelas mereka ni buat, seronok saya join.” – Sassy Diva, pengguna Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Tebuk Haji Yusuf, Sungai Besar.

Sebenarnya ada seramai 25,136 usahawan aktif PEDi di seluruh negara setakat September 2022. Kalau anda salah seorang usahawan kecil dari luar bandar yang nak pelajari macamana PEDi akan beri manfaat pada perniagaan, jom baca artikel ini.

APA PEDi TU SEBENARNYA?

Mungkin anda pernah dengar tentang PIK. Asalnya PEDi ini dikenali sebagai Pusat Internet Komuniti (PIK) yang ada di luar bandar. Kini dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang ditambahbaik dan bertujuan menjadi satu pusat dengan pelbagai kelas ilmu  ICT. Selain menyediakan bimbingan keusahawanan serta membina usahawan mikro dan kecil bagi komuniti setempat di luar bandar.

SIAPA YANG  BOLEH MANFAATKAN PEDI?

Seluruh komuniti setempat, terutamanya usahawan mikro, kecil dan luar bandar. Dan juga sesiapa yang nak meningkatkan kemahiran ICT untuk mencari pekerjaan.

Ilustrasi menunjukkan gabungan tangan sesama individu. 

Kalau nak mencari PEDi terdekat, boleh gunakan laman sewasang atau aplikasi JENDELA Map. Hanya perlu taip PEDi pada ruang carian, dan boleh pilih lokasi yang dimahukan.

Tangkap layar menunjukkan laman sesawang bagi Jendela Map

MASALAH PENIAGA KECIL DAN MIKRO

Kadangkala apabila mula menjadi usahawan, semangat meniaga itu ada cuma pengetahuan mendalam berkaitan pemasaran itu kurang. Lagi pula dengan capaian Internet yang agak terbatas. Boleh jadi disebabkan kurang kemampuan memiliki Internet di rumah atau kurangnya pemahaman digital.  

Ilustrasi menunjukkan hebahan yang boleh dilakukan melalui platform media sosial

BENTUK LATIHAN ATAU KURSUS YANG DITAWARKAN DI PEDI? 

Setiap PEDi menjalankan kursus-kursus dan latihan seperti:

  • Latihan pemasaran, pembangunan perniagaan, pembungkusan dan modul lain yang penting bagi usahawan mikro; dan
  • Program kesedaran serta penglibatan komuniti sebagai usaha ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi dan memperkasakan modal insan.
  • Pelbagai kursus keusahawanan bagi membantu usahawan tempatan untuk menjalankan perniagaan dalam talian. Latihan ICT seperti Microsoft Office, latihan keusahawanan seperti pemasaran online menggunakan Shopee. Pelbagai e-learning, juga latihan multimedia seperti cara menggunakan platform Canva untuk bisnes.
  • Latihan disediakan oleh agensi kerajaan seperti MDEC, HRDF, MEDAC, SME Corp dan swasta seperti AEON dan Shopee. 

SATU TEMPAT, BANYAK MANFAAT

Selain membantu para usahawan kecil di luar bandar melalui kelas-kelas keusahawanan digital, PEDi juga membantu komuniti setempat dengan kelas-kelas digital Microsoft Office. Sesetengahnya pula menyediakan khidmat pengeposan Pos Malaysia, mencetak, bayaran bil utiliti dan sebagainya.

Dengan usaha memperluas liputan jalur lebar di seluruh negara, pastinya setiap PEDi menjadi salah satu pusat rujukan paling dekat dengan komuniti setempat terutamanya luar bandar, untuk turut serta dalam ekonomi digital!

Pilihan Menarik Untuk Anda