“Aku dah ada kedai ni cukup lah, hari-hari pun ramai je yang datang. Buat apa nak bazir duit bayar iklan kat Internet tu. Letak banner pun dah okay dah.”
Betul, tak semua pemasaran tradisional tak relevan. Macam guna banner kat kedai tu. Tapi kalau nakkan perniagaan lebih berkembang, tak bolehlah bergantung pada jenis pemasaran tradisional je.
Strategi pemasaran kena seiring dengan era digitalisasi. Kalau nak perniagaan lebih membangun lagi, cara dan platform pemasaran perlu diperluaskan. Banyak usahawan kecil-kecilan pun dah gunakan pemasaran digital. Peluang dah ada, lagi-lagi dengan ketersambungan Internet sekarang. Jadi lagi baik kalau dimaksimumkan, betul tak?
Kesannya nampak sendiri bila perniagaan dapat dikembangkan dengan keuntungan yang lebih tinggi. Tak yakin lagi? Ini 5 kepentingannya dan jenis-jenis saluran digital marketing yang mungkin dapat membantu perniagaan anda :
APA KEPENTINGANNYA?
1. PELANGGAN ADA ATAS TALIAN
Setakat Februari 2022, pengguna internet aktif di Malaysia mencecah 30.25 juta tau. Siapa je yang berkemampuan tapi tak gunakan internet? Nak hantar mesej pun guna WhatsApp yang perlukan Internet. Sebab itu perniagaan perlu dedahkan diri dalam talian. Dari situ pelanggan boleh tahu kewujudan jenama anda di media sosial dan Google.
2. LEBIH CEPAT DAN KOS EFEKTIF
Dibandingkan dengan pemasaran tradisional di mana prosesnya lebih memakan masa. Nak cetak flyers, nak call stesen media, nak pergi event dan sebagainya. Semua guna lebih banyak kos dan masa. Kalau dengan pemasaran digital, tinggal buat sikit kajian lepas tu dah boleh cuba ikut kesesuaian. Modal pun lebih kecil dan boleh bereksperimentasi.
3. PULANGAN PELABURAN (ROI) & PENDAPATAN LEBIH BAIK
Ini tak kira iklan digital berbayar ataupun tak. ROI akan jadi lebih tinggi disebabkan pelanggan memang ada dalam talian. Hanya perlu kenal pelanggan ideal dan atur strategi. Tak lama nanti, dapatlah tukar prospek kepada pelanggan dengan mudah.
4. MUDAH CAPAI PELANGGAN
Disebabkan kebanyakan orang berkepit dengan telefon bimbit masing-masing, iklan digital akan disasar kepada mereka ini. Boleh lah anda bagi customer service yang bagus. Malah, kalau anda letakkan perniagaan dalam Google My Business, lagi mudah pelanggan berpotensi nak cari lokasi dan bagi review.
5. BINA REPUTASI
Bila nampak kedai makan bagi tips masakan kat media sosial, ramai orang akan suka. Lagi pula kalau tunjuk proses memasak dan servis yang baik. Melalui pemasaran digital lah peluang bina hubungan dan reputasi dengan pelanggan senang berlaku. Orang akan tambah percaya dengan jenama anda.
ANTARA JENIS-JENIS SALURAN PEMASARAN
1) PAY-PER-CLICK (PPC)
- Pengiklanan PPC adalah satu proses memperlihatkan jenama atau syarikat di halaman hasil enjin carian (Search Engine Result Pages, SERPs).
- Dengan bayaran melalui saluran digital seperti Google Ads, biasanya pengiklan akan membayar iklan dengan objektif masing-masing.
- Iklan dapat dibuat dalam bentuk gambar, teks, video dan sebagainya. Contohnya, iklan dalam bentuk gambar atau GIF dipanggil “Display Ads”.
- Tentu anda dah biasa lihat iklan-iklan ini kerana ia akan ditemani dengan teks ‘skip ads’, ‘advertisement’ , ‘sponsored’ dan sebagainya.
- Selalunya apabila iklan diklik oleh bakal pelanggan ia akan membawa mereka ke laman web, laman e-dagang atau di halaman mana saja yang diinginkan pengiklan.
- Anda hanya buat bayaran apabila iklan anda diklik pelanggan.
- Lokasi pengiklanan ini akan terlihat di enjin carian, laman web dan sebagainya.
- Nak mula? Boleh ikuti panduan ini.
2) PEMASARAN MEDIA SOSIAL (SOCIAL MEDIA MARKETING)
Tak kira peniaga kecil sampailah ke syarikat korporat jenama antarabangsa, semuanya gunakan media sosial. Dalam jenis pemasaran ini anda mempunyai 3 cabang untuk diberikan perhatian:
Hubungan – Paling mudah nak bina hubungan dengan pelanggan melalui media sosial platform seperti Facebook, Instagram, Tik Tok, Youtube dan lain-lain.
Interaksi – Pelanggan juga dapat berinteraksi dengan peniaga sama ada mendapat maklum balas secara terus. Contohnya menghantar mesej, meninggalkan komen dan juga ‘like’ di laman media sosial peniaga. Interaksi dua hala yang konsisten dapat meyakinkan pelanggan untuk buat belian dan membina reputasi jenama.
Data Pelanggan – Kat media sosial je pun dah boleh kumpul data pelanggan tau. Anda boleh buat analisis melalui tool yang disediakan oleh platform media sosial seperti Insight di Facebook Business Manager. Anda akan dapat tahu statistik seperti jantina, lingkungan umur, berapa ramai yang lihat konten anda dan juga konten apa yang biasanya convert to sales.
Jadi macam mana nak buat tu?
- Set objektif yang jelas
- Kenalpasti siapa pelanggan (umur, lokasi, pendapatan, jenis pekerjaan, industri, minat)
- Buat competitive analysis pesaing-pesaing anda
- Audit keadaan SMM semasa anda (Social Media Audit)
- Buat kalendar konten
- Cipta konten berkualiti
- Jejak prestasi, ubah atau perbaiki berdasarkan data yang diperolehi
3) SEARCH ENGINE OPTIMIZATION (SEO)
Kalau anda biasa menggunakan Google, mesti anda akan jumpa laman web berkaitan carian anda. Yang anda perasan, lagi banyak sesuatu keyword yang menjawab soalan anda di laman web tersebut, laman web itu lah yang akan anda jumpa dulu. Beginilah salah satu cara SEO meningkatkan trafik dan page ranking di laman web anda. Kalau secara menyeluruh, ada 4 cabang yang akan menentukan page ranking laman web.
Teknikal SEO – Fokus kepada aspek teknikal website seperti memastikan kepantasan laman web untuk dibuka, mobile-friendly, selamat dan lain-lain lagi.
On-page SEO – Memastikan enjin carian faham dengan konten yang diletakkan di dalam laman web seperti tajuk artikel, meta tag optimisation, imej dan lain-lain.
Konten – Konten adalah satu daripada faktor utama Google untuk menaikkan ranking page anda. Tanpa konten yang berkualiti, sukar untuk anda naik ke halaman carian yang pertama. Contoh konten seperti blog dalam laman web.
Off page SEO – Ini pula mungkin mengambil masa kerana ia adalah proses membina hubungan dengan website lain di mana mereka meletakkan link laman web anda di laman web mereka. Proses ini dipanggil backlink. Lebih banyak backlink lebih berkualiti laman web di mata enjin carian Google.
Kombinasi faktor-faktor di atas lah yang akan membuat laman web mendapat ranking lebih tinggi di Google dan lebih dipercayai di mata pelanggan. Anda boleh mula di sini.
4) PEMASARAN E-MEL
- Ini cara yang dah lama digunakan, tinggi ROI dan salah satu cara pemasaran evergreen.
- Cara lama tak bermakna ia tak berkesan. Mekanisasi pemasaran ini adalah semudah menghantar e-mel berkenaan promosi atau informasi yang ingin disampaikan ke e-mel pelanggan.
- E-mel ini biasanya diperolehi apabila pelanggan berkunjung ke laman web melalui langganan newsletter dan lain-lain cara.
- Cara pemasaran ini dapat memperingatkan pelanggan tentang promosi semasa atau pelancaran produk baru.
- Selain itu, cara ini dapat membantu anda membina hubungan dengan pelanggan dengan membawa mereka ke media sosial, blog, dan laman web.
- Anda juga boleh asingkan demografi yang berbeza dan buat konten yang khusus menepati keperluan demografi tersebut. Contohnya, jika anda menjual baju: promosi baju aktif die-melkan kepada demografi muda (18 – 35 tahun, lelaki & wanita) manakala baju kurung pula kepada demografi wanita (18-65 tahun, wanita).
- Berminat nak mula, boleh ikut langkah-langkah di sini.
5) VIDEO MARKETING
Tak dilupa, medium pemasaran yang paling hangat di dunia pada masa sekarang. Ini adalah apa yang mungkin pemilik perniagaan akan fikirkan untuk promosi bisnes mereka, terutamanya di media sosial. Sebab apa, sebab anda nak tarik perhatian mereka dan buat mereka ingin beli produk anda. Ini antara jenis video yang boleh membantu objektif ini.
- Video Demonstrasi
- Video Branding
- Video Acara Syarikat
- Video Temubual dengan pakar (Expert Interview)
- Video Tutorial
- Video Penjelasan
- Video Animasi
- Video Testimoni atau Case Study
- Video Live
- Video 360º
- Video Virtual Reality (VR)
- Video Augmented Reality (AR)
GUNA DIGITAL MARKETING UNTUK KEKAL RELEVAN
Baiklah, dapat dah gambaran macam mana digital marketing ni membantu anda? Bila perniagaan terdedah pada lebih ramai pelanggan, barulah makin berkembang. Cuma kalau anda memang baru dalam pemasaran digital, ia mungkin agak janggal dan susah. Tapi percayalah, mula belajar dari sekarang dan anda tak rugi untuk masa akan datang.
Banyak usaha pemasaran digital boleh dilakukan di mana saja bila ada capaian internet. Malah kerajaan menyokong dengan pelbagai kursus secara percuma kepada usahawan atau individu yang mahu mempelajari pemasaran digital ni. Salah satunya melalui PEDi (Pusat Ekonomi Digital Malaysia). Kalau anda berminat, layari saja JENDELA untuk mencari PEDi terdekat.
Selamat menimba ilmu dan semoga berjaya!