Bagaimana 3D Printer Bantu Lebih 60 OKU. Kisah Hero Tempatan.

Teknologi & Kreatif

“Mak, Adik taknak pergi sekolah lah harini. Adik tak dapat nak main bola dengan kawan sekolah, haritu ramai tanya pasal tangan adik. Adik tak tahu nak jawab, Adik malu.”

Mungkin ini adalah antara dialog yang kemungkinan seorang ibu akan dengar daripada anaknya yang baru masuk sekolah rendah, sebagai Orang Kurang Upaya (OKU). Ini menunjukkan, betapa pentingnya prostesis (anggota badan palsu) bagi mereka dalam meningkatkan keyakinan kehidupan seharian khususnya untuk belajar, bekerja dan bersosial.

Namun kebiasaannya kos anggota palsu ini boleh menjangkau ribuan ringgit, jom ikuti kisah seorang pembuat 3D Printer (pencetak 3D) tempatan; Sujana Mohd Rejab dari Taiping yang berjaya mencetak lebih 60 prostesis untuk OKU kurang berkemampuan berbekalkan ilmu yang dipelajari dalam talian.

Gambar menunjukkan Sujana memegang tangan prostesis. Kredit imej daripada MStar.
Gambar menunjukkan Sujana memegang tangan prostesis. Kredit imej daripada MStar.

Sujana Mohd Rejab, seorang pencinta teknologi yang asalnya adalah seorang guru sebelum beliau meninggalkan pekerjaan tersebut pada tahun 1997. Kemudian beliau meneruskan pembelajaran dalam bidang pengkomputeran dan pengaturcaraan sebelum berjinak-jinak dengan teknologi cetakan 3D.

BERMULANYA PERJALANAN DENGAN TEKNOLOGI CETAKAN 3D

Bermula sekitar 2011, beliau pulang ke kampung di Taiping untuk menjaga ayahnya. Ketika itulah beliau menerokai bidang cetakan 3D bersama isterinya. Melalui dalam talian, Sujana mula menceburkan diri ke bidang pencetakan 3D dengan mencari informasi berkaitan teknologi anggota palsu yang masih agak asing di waktu itu. 

Anggota palsu konvensional biasanya datang dengan kos yang tinggi dan rekaannya agak kaku. Namun rekaan Sujana ini dikategorikan sebagai buatan Malaysia yang lebih rendah kosnya, termasuk kos penyelenggaran alat ganti yang rosak pada masa akan datang. Ini kerana Sujana sendiri bermatlamat untuk menyediakan anggota badan palsu kepada golongan yang kurang berkemampuan supaya tidak merasa terbeban apabila memakai anggota palsu tersebut.

Gambar menunjukkan pencetak 3D sedia untuk mencetak.
Gambar menunjukkan pencetak 3D sedia untuk mencetak

BINA MESIN CETAK 3D SENDIRI DENGAN BANTUAN GOOGLE

Pencetak 3D masih sukar dimiliki pada tahun 2015, sebab itu beliau membuat keputusan untuk membuat pencetak 3D sendiri dengan maklumat yang diperolehi dari Internet. Selama lebih kurang 2 tahun Sujana dan isterinya melakukan usaha membina mesin pencetak 3D. 

Tidak mahu hanya membuat Pencetak 3D mereka bertemu pula dengan komuniti E-NABLE Foundation dalam talian yang membenarkan sesiapa saja untuk memuat turun rekaan cetakan tangan palsu 3D. 

SENYUMAN PENERIMA PROSTESIS PERTAMA

Penerima prostesis pertama beliau adalah gadis cilik berumur 6 tahun dengan senyuman yang masih beliau ingati sehingga kini. 

“Bila first time kita tengok je budak tu pakai (tangan palsu), tiba-tiba dia boleh gerakkan jari tu. Kita boleh lihat ibu budak tu gembira, budak tu pun seronok sangat. Senyuman tu mana boleh beli mana-mana. Memang rasa berbaloi lah”

Antara kata-kata Sujana tentang kisah salah seorang kanak-kanak yang menerima anggota palsu yang direka.

MISI SOSIAL SUJANA – BANTU LEBIH RAMAI OKU

Tidak mahu hanya membuat Pencetak 3D, bekas guru itu memanfaatkan peluang penyertaannya dalam E-NABLE Foundation sebagai komuniti 3D Printer antarabangsa untuk mendapatkan maklumat berkenaan OKU yang ingin memiliki prostesis atau anggota badan palsu ini. Komuniti atas talian itu memaparkan peta dunia di mana OKU yang ingin memiliki anggota badan palsu boleh menggunakan khidmat sukarela cetakan 3D yang paling berhampiran dengan mereka.

Kini, Sujana mempunyai syarikat cetakan 3D sendiri dengan misi beliau untuk memberi peluang kemudahan prostesis serta teknologi cetakan 3D secara amnya. Kisah Sujana dalam misi sosialnya menjadi inspirasi bagaimana teknologi dapat memperbaiki taraf hidup OKU lebih lagi pada golongan yang kurang berkemampuan.

Gambar menunjukkan Sujana sedang memasang protesis. Kredit imej daripada New Straits Times.
Gambar menunjukkan Sujana sedang memasang protesis. Kredit imej daripada New Straits Times

TIADA APA MUSTAHIL DENGAN “UNIVERSITI GOOGLE

Google adalah tempat beliau menggali maklumat, berhubung dengan komuniti antarabangsa dan memberi kesedaran kepada komuniti tempatan. Tanpa ketersambungan Internet, usaha mendapatkan maklumat berkaitan dan menyampaikan kesedaran kepada komuniti pasti sukar dilaksanakan. 

Kisah yang pastinya memberi semangat untuk anda dan rakyat Malaysia. Sebagaimana Sujana memanfaatkan sambungan Internet, anda yang ingin mempelajari bidang teknologi juga mampu melakukan perkara yang sama lebih lagi dengan adanya sambungan Internet di rumah.

Pilihan Menarik Untuk Anda