“Mama, Teacher ada minta adik mewarna. Mama ada nampak tak pensel warna adik?” tanya si anak kecil sambil jari menunjuk ke skrin tablet.
“Mama sibuk kursus online ni, jangan kacau pergi tanya Papa” sahut si ibu sambil mata tak lepas memandang skrin laptop.
Anda biasa dengar situasi seperti ini ataupun anda pernah mengalaminya? Jika anda ingat, ini adalah situasi normal pada permulaan pandemik, awal tahun 2020. Daripada golongan dewasa, sehinggalah kanak-kanak kesemuanya beralih menggunakan peranti elektronik dalam melakukan pekerjaan masing-masing.
PEMBELAJARAN DALAM TALIAN MASIH POPULAR
Pembelajaran dalam talian (Online Distance Learning) atau lebih dikenali sebagai PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) telah diterapkan kepada kanak-kanak seawal usia pra-tadika sehingga golongan dewasa bekerjaya. Walaupun zaman pandemik telah berlalu, kesedaran keberhasilan pembelajaran dalam talian dah terkesan di kalangan masyarakat dunia.
Tahukah anda, menerusi bantuan teknologi juga dapat membantu anda untuk mengasah skil. 3 platform ini mungkin berguna untuk anda:
1. YOUTUBE
Pertama, Youtube. Platform yang tak asing langsung. Silap haribulan, anda selalu gunakan Youtube untuk ketahui berita dan tonton video muzik. Tapi, pernahkah anda menjadikan Youtube sebagai guru?
- Youtube ini portal yang boleh berikan informasi yang pelbagai megikut carian anda. Contoh senang, ilmu belajar main instrumen muzik, ilmu menyunting video dan macam-macam lagi.
- Kalau anda seorang usahawan, tak perlu pun untuk langgan pakej tutorial pemasaran yang mahal-mahal di luar sana. Youtube ada untuk membantu anda.
- Kalau anda pelajar, video pendidikan yang ringkas dan padat senang je nak dapat di Youtube. Kalau anda bekerja dalam bidang profesional, kuliah yang diiktiraf antarabangsa juga ada tersedia buat anda.
Senang bukan? Boleh pause, play dan belajar semula.
2. PORTAL KHAS
Seterusnya, platform yang bakal disenaraikan mungkin anda pernah dengar atau tak. Sekiranya anda ada topik spesifik dan mahukan pembelajaran lebih berstruktur yang diselia oleh pengajar bertauliah, platform-platform pembelajaran online di bawah adalah tempat wajib dituju:
- Platform-platform ini menawarkan kursus yang meliputi segenap industri seperti teknologi, pemasaran digital, kesusasteraan, kesihatan dan lain-lain.
- Ada yang percuma dan ada juga yang berbayar. Lazimnya, pakej yang berbayar adalah kerana setiap habis kuliah, akan diberikan sijil.
- Platform-platform ini terbahagi kepada dua bahagian:
- Platform antarabangsa – seperti Udemy, SkillShare, Coursera, Domestika & Master Class.
- Platform tempatan – antaranya adalah eKelas Keusahawanan Maxis (percuma), Let’s Learn Digital (MDEC) (percuma) dan MyClaaz.com (berbayar).
3. DAPAT IJAZAH DARI RUMAH JE
Siapa sangka yang sebenarnya kita boleh dapatkan pendidikan tinggi dari rumah. Sijil ijazah, pasca ijazah dan kedoktoran pula amat penting apabila golongan profesional ingin berlari lebih jauh dalam kerjaya masing-masing.
Bukan semua orang ada masa dan kelapangan untuk komitmen tersebut dengan sibuk bekerja lagi, layan anak-anak lagi. Ini yang penting, universiti tempatan ada menawarkan program pengajian online antaranya adalah MSU, UUM, UTM dan lain-lain.
Kalau Universiti antarabangsa pula adalah seperti University of Oxford dan University of Michigan. Anda boleh lakukan pencarian ini di laman sesawang bagi universiti yang anda mahu sertai, siap ada yang tawarkan biasiswa lagi. Pengajian online ini akan dilakukan mengikut kesesuaian jadual masing-masing. Biasanya orang panggil PJJ, iaitu pendidikan jarak jauh.
PEMBELAJARAN BERTERUSAN DI MANA SAJA
Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, pembelajaran dapat dilakukan di mana-mana sahaja. Menerusi website ini sendiri pun dah padat dengan pelbagai informasi yang melibatkan 7 teras kandungan yang sangat efektif, buat kepentingan rakyat dalam memperkasa literasi digital.
Tak lupa juga projek JENDELA (Jalinan Digital Negara) yang membolehkan anda dan rakyat Malaysia yang lain mengakses Internet, sekali gus dapat membuka gerbang ilmu bagi mereka yang sebelum ni susah untuk dapatkan Internet yang stabil. Jom sama-sama kita manfaatkan Internet dan kemudahan jalur lebar sepenuhnya. Bukan kemahiran dan ilmu IT saja yang diperoleh, tetapi pelbagai. Jom kita sama-sama jadi seperti laut budi, tepian akal.