“Kisah anak diberi ubat cabut lari… Ubat batuk cap ibu dan anak ibu beri, Anak minum ubat batuk yang diberi…”
Haa terikut menyanyi ke tu? Inilah antara lagu yang tercipta untuk iklan ubat batuk Jenama Cap Ibu dan Anak yang popular suatu ketika dahulu sebelum wujudnya penggunaan media sosial di Malaysia.
Untuk anda yang sempat melalui zaman iklan di televisyen dan radio seperti di atas, pastinya masih teringat dengan produk ubat batuk ini. Tapi apa lagi agaknya ya antara kenangan yang signifikan dengan iklan jenama zaman sebelum media sosial?
Jom sama-sama kita imbau kenangan dengan beberapa iklan yang tak lapuk dek zaman.
IKLAN TAK LAPUK DITELAN ZAMAN
Ubat Batuk Cap Ibu Dan Anak
Iklan jenama ini signifikan dengan lagunya di televisyen setiap kali commercial break di antara rancangan yang disiarkan di televisyen. Dengan rasa manis berangin, menjadi pilihan ibu untuk melegakan batuk anak-anak.
Beras Cap Rambutan
Siapa yang boleh lupa iklan ikonik ini. Lagu yang mengambil kurang 30 saat ini memang catchy dengan ending yang pasti penonton akan nyanyi sekali, “beras cap,cap,cap…cap rambutan!”. Iklan ini turut memberi pendedahan dengan cara pemprosesan beras daripada tuaian di sawah padi sehinggalah dibawa di kilang untuk proses pembersihan dan seterusnya dipek dalam bungkusan plastik.
Blue Hyppo TMNET
Ingat lagi dengan badak biru oleh TMNET? Iklan badak biru ini yang paling diingati semasa Aidilfitri menjelang tiba. Lagu Sudirman ‘Balik Kampung’ dimainkan apabila Blue Hyppo ini ingin bersama Datuk Siti Nurhaliza untuk balik beraya.
Digi Yellow Man
Ke puncak gunung tertinggi, ke lautan luas, ke hujung ladang, ke bangunan tinggi, ke tandas dan banyak lagi. ‘Yellow Man’ Digi ini akan mengikut ke mana saja anda pergi dan iklan ini popular melalui jingle “I will follow you…” dan maskot kuning yang akan mengikuti anda ke mana saja anda pergi.
Sabun Pencuci Pinggan Axion
Biasa gunakan pencuci pinggan mangkuk Axion? Dah menjadi nyanyian ramai pada zamannya dulu melalui lagu, “Mari, mari puan dengar ini cerita…Suami saya asyik balik awal saja.. Ada pembantu baru katanya… Kan abang dah kata, Axion namanya? Axion ke Aziah??”
Mesti terkekek-kekek ketawa bila tonton iklan ni dulu kan?
Gula-Gula Nano
Masam-masam manis, dengan warna kuning oren pada rupa gula-gula ini. Memang pilihan nombor satu kalau mengantuk semasa memandu. Iklannya menggunakan animasi berkeluarga dengan lagu ‘Manis, masam dan masin, nano, nano, na na na nano, nanoo…”
Cuti-Cuti Malaysia
Hampir semua orang yang melalui zaman ini akan ingat dengan lagu Cuti-cuti Malaysia ni. Kempen bercuti dalam negara dengan lagu bernada gembira yang dinyanyikan Tokti dengan korus, “Cuti-cuti Malaysia…”
POPULAR DULU VS SEKARANG
Iklan popular, lagu popular, apa saja yang menjadi bualan ramai dalam masa-masa tertentu memang tak dapat dielakkan dalam kehidupan harian. Kalau dulu, sumber bualan popular yang biasa didengari adalah melalui televisyen dan radio. Nak buat orang ramai ingat, memang ambil masa. Berulang-ulang tengok iklan yang sama sampai lah melekat dalam kepala. Pembikinan satu-satu iklan juga memerlukan kos yang tinggi.
Berbeza dengan zaman sekarang, sumber media utama adalah melalui media sosial. Sebarang isu semasa dan berita hangat yang menjadi bualan ramai kebanyakannya berasal daripada sana. Bila semua di hujung jari, maklumat memang pantas sungguh tersebar.
Bukan saja iklan marketing mudah dijalankan, malah sesiapa je boleh jadi viral dengan konten yang dimuatnaik. Kos pembuatan iklan juga tak perlu kos yang tinggi, yang penting ia sampai kepada target audience.
SUMBER RUJUKAN KREATIF
Nah semua iklan-iklan di atas bukan saja mengimbau kenangan zaman dulu, malah untuk generasi sekarang mengambil inspirasi dalam menghasilkan idea kreatif untuk produk, karya seni, pengiklanan atau pemasaran.
Yelah, nak tak nak memang semua ini dah menjadi sebahagian hidup lapisan masyarakat di Malaysia daripada yang muda hingga ke tua. Hasil karya yang menyentuh semua golongan ini pasti akan mudah mendapat perhatian.
Kalau kita buat sedikit analisis, iklan dulu memang bergantung kepada kualiti karya semata untuk mendapat tempat di hati pengguna dan impaknya berpanjangan sehingga kini. Berbanding dengan sekarang memang mudah untuk iklan sampai kepada pengguna tapi adakah mereka akan ingat sementara atau ingat lama?
Jadi, gunakan ketersambungan jalur lebar yang meluas untuk buat kajian dan rujukan idea anda yang seterusnya. Iyalah sekarang semua maklumat boleh dicapai dengan mudah.
Yang terdahulu dikenang, untuk rujukan sekarang!