“Weh gempak siot, ada 3D printer. Tapi kau nak buat apa dengan printer ni?”
Mungkin perbualan ini yang akan berlaku bila kita pergi ke rumah kawan dan lihat ada 3D Printer. Tapi sebenarnya apa itu 3D Printing? 3D Printing adalah teknologi cetakan yang mengubah gulungan wayar plastik (filamen) kepada apa juga objek 3 dimensi yang anda setkan untuk dicetak melalui perisian.
Macam anda cetak assignment atau proposal di mesin cetak kertas, dengan hanya menggunakan designing software di dalam komputer, anda boleh terus mencetak objek fizikal! Macam tak percaya kalau tengok depan mata. Jadi bagaimana agaknya potensi cetakan 3D ni membantu inovasi kehidupan dan industri akan datang ya?
Jom kita lihat antara potensi cetakan 3D yang makin berkembang ini.
POTENSI PENCETAKAN 3D
#1 Pendidikan
Dengan adanya pencetakan 3D, ini akan merevolusikan pendidikan STEM dengan menawarkan keupayaan untuk prototaip pantas kos rendah oleh pelajar di dalam bilik darjah. Cetakan 3D masih kurang pendedahan, maka MOSTI menggalakkan penglibatan pelajar sejak peringkat sekolah dalam program STEM melalui pertandingan Techlympics (cabaran sertai pertandingan cetakan 3D).
#2 Prototaip Dan Pembuatan
Cetakan 3D juga sebenarnya dapat mengurangkan masa yang diperlukan dalam pembuatan prototaip tradisional. Contohnya dalam industri pembinaan, automotif dan aeroangkasa.
#3 Perubatan
Teknologi 3D ini mampu menghasilkan implan ortopedik logam. Disebabkan oleh keupayaan pencetakan 3D untuk mencipta permukaan berliang, jenis implan ini lebih mudah disepadukan dengan tulang semula jadi pesakit sendiri. Dan mmembolehkan ia berkembang menjadi implan. Dapat dilihat juga Sujana, usahawan cetakan 3D tempatan yang mencetak anggota palsu untuk kanak-kanak OKU. Malah penggunaan robotik exoskeleton yang membantu rehabilitasi pesakit neurologi oleh PERKESO juga telah pun ada.
#4 Pembinaan
Penggunaan cetakan 3D memang membolehkan lebih banyak penghasilan rekaan terperinci dan tepat, pembinaan lebih pantas, dan kos buruh yang lebih rendah, selain mengurangkan pembaziran. Contohnya semasa pandemik, hospital lapangan Wuhan, China dibina dalam 10 hari saja!
#5 Seni dan Barang Kemas
Membolehkan pengeluaran barang kemas individu yang unik atau potongan khas pada kos yang jauh lebih rendah. Misalnya jenama barang kemas tempatan ZCOVA yang menggunakan prototaip cincin untuk pelanggan mendapatkan saiz dan rekaan yang dimahukan. Tak perlu lah pelanggan yang jauh di Sarawak datang ke semenanjung untuk mendapatkan cincin atau barang kemas idaman.
MANA NAK BELAJAR?
IMTC – Syarikat ini merupakansyarikat korporat pelbagai negara (multi national company) yang menyediakan kursus cetakan 3D. Pusat latihan ini menariknya beroperasi di Malaysia, pasti memudahkan anda yang mahu mendapatkan kelas fizikal. Klik sini.
Tertiary Courses My – Melalui platform ini,kursus boleh dituntut bayarannya daripadaHRD Corp bagi majikan yang berdaftar dengan agensi tersebut. Kalau syarikat anda memerlukan pekerja menambah ilmu dalam pencetakan 3D, sangat menguntungkan. Klik sini untuk tahu lebih lanjut.
Udemy – Udemy, satu platform untuk pelbagai kursus dalam talian. Melalui platform ini anda boleh belajar menggunakan perisian percuma seperti Blender untuk mereka cetakan 3D. Klik sini untuk anda yang mahu gunakan perisian Blender ini.
MANFAAT YANG MENYELURUH
Dapat kita simpulkan di sini yang pencetakan 3D ini dapat memberi manfaat menyeluruh dari sekecil-kecil kehidupan harian sehingga industri yang lebih besar. Bukan saja boleh memangkin sustainability, malah inovasi dan meningkatkan kecekapan bekerja.
Malah dengan penggalakan inovasi dalam STEM dan sambungan internet di Malaysia, anda boleh ambil peluang untuk belajar lebih lanjut tentang pencetakan 3D ini. Mana tahu anda mampu jadi salah seorang pencipta akan datang, kan?