Tak ada Line je Angkat HP tinggi-tinggi. KENAPA? 

Teknologi & Kreatif

“Itu menara cable car ke???” “Bukanlah, itu menara telefon”, sengih seorang Ayah kepada pertanyaan anaknya. 

Ilustrasi menunjukkan menara selular di satu kawasan

Tak apa, sebenarnya ramai yang masih confuse tentang menara telekomunisasi ini. Fungsinya apa dan bagaimana ia berfungsi. Yang kita tahu kalau HP tak ada line dan Internet, confirm kita akan angkat setinggi-tingginya untuk dapatkan line

Tapi tahu tak kenapa kita buat semua itu? Dan kenapa menara telekomunikasi ini penting untuk rangkaian dan capaian line serta Internet kita? 

Apa itu menara telekomunisasi?

Menara telekomunisasi menempatkan peralatan komunikasi elektronik bersama-sama dengan antena untuk menyokong komunikasi selular dalam rangkaian. Menara ini biasanya merupakan struktur yang tinggi dengan antena, pemancar dan penerima yang terletak di bahagian atas menara. Menara telekomunisasi juga dikenali sebagai menara sel atau tapak sel.

Ilustrasi menunjukkan fungsi menara selular di belakang rumah

Apa yang ada dekat menara telekomunisasi?

Antena dan alatan elektronik telekomunikasi dipasang di menara ini untuk membantu menghubungkan telefon mudah alih ke dalam rangkaian selular menggunakan teknologi gelombang elektromagnet. Sebuah set atau lebih antena pemancar/penerima diletakkan pada struktur tinggi. Alatan elektronik yang dipasang pula adalah seperti pemproses signal digital, sistem kawalan elektronik dan penerima GPS. Menara telekomunisasi ini jugalah yang memberikan liputan internet ke telefon anda. 

Ilustrasi menunjukkan bagaimana menara telekomunisasi berfungsi

Bagaimana menara telekomunisasi berfungsi? 

Menara telekomunikasi diletakkan di tempat yang tinggi untuk memberi liputan dengan secukupnya. Sesebuah telefon mudah mendapat liputan jika pemancar telekomunikasi berada dalam garis penglihatan atau Line of Sight. Sebab itulah jika HP kita tak ada line dah menjadi kebiasaan untuk kita mengangkatnya tinggi-tinggi untuk mendapat liputan. 

Setiap kali anda menggunakan telefon bimbit anda untuk membuat panggilan, ia mengeluarkan gelombang radio elektromagnet yang juga dikenali sebagai frekuensi radio atau tenaga RF. Sebaik sahaja gelombang radio dipancarkan, antena dari menara telefon bimbit terdekat akan menerimanya. Antena menara sel boleh menghantar dan menerima isyarat daripada telefon bimbit. Selepas menerima gelombang radio dari telefon bimbit, ia kemudiannya akan menghantar isyarat ke pusat pensuisan yang merupakan pertukaran telefon untuk telefon bimbit. Ini membolehkan panggilan disambungkan ke telefon mudah alih lain atau ke rangkaian telefon.

Ilustrasi menunjukkan teknologi menara komunikasi dengan 5G

Apa kaitan menara telekomunisasi dengan perkhidmatan 5G?

4G dan menara sel generasi terdahulu tidak dapat menghantar frekuensi 5G yang lebih tinggi, tetapi pengendali atau operator boleh menaik taraf menara sedia ada untuk keserasian 5G. Sebagai contoh, juruteknik boleh mengubah suai atau menggantikan antena 4G dengan peralatan radio generasi kelima yang baharu. 

Pembinaan menara telekomunikasi 5G dan menaik taraf menara sedia ada telah pun bermula dan sudah ada lokasi yang telah menerima rangkaian 5G. Contohnya seperti bandar Putrajaya. Selain itu, menara telekomunikasi sedia ada juga telah dinaiktaraf kepada teknologi 4G. Seterusnya akan diperluas ke seluruh negara untuk meliputi kawasan bandar dan desa yang lain serta taman perindustrian, dengan sasaran liputan sekitar 80% di kawasan berpenduduk negara menjelang tahun 2024. 

Gambar menunjukkan Menara KL. Kredit imej daripada Khairi Harry

Tahukah anda, Menara KL merupakan menara telekomunikasi tertinggi di asia tenggara dan ke tujuh tertinggi dalam dunia. 

MENARA TELEKOMUNIKASI PASTIKAN KITA SEMUA TERHUBUNG

Selepas ini kalau anda melepasi menara telekomunisasi ini boleh lah kongsikan dengan fungsinya kepada kawan-kawan.  Pembangunan dan penaiktarafan menara ini sangat penting dalam membantu memberikan rangkaian dan perkhidmatan Internet yang lebih menyeluruh dan secara meluas. 

Apabila teknologi terus maju, semakin banyak menara sel akan muncul di sekitar negara. Tetapi sementara menunggu teknologi 5G secara meluas, masih terdapat menara sel di seluruh negara yang memastikan kita mendapat perkhidmatan telefon bimbit hampir ke mana-mana sahaja kita pergi. 

Pilihan Menarik Untuk Anda