Anda MIX apa? Ketahui Dengan Cara Ini!

Gaya Hidup & Kesihatan

“Kalaulah ada test kit yang boleh predict risiko penyakit apa aku dapat, kan best?” 

Sebenarnya, anda boleh, dengan kit ujian genetik. Walaupun ramai yang awalnya menggunakan kit ujian genetik kerana hanya ingin tahu keturunan mereka, tetapi laporan kesihatan dalam keputusan kit mula mendapat lebih perhatian. Menarik kan, jadi ketahui lebih lanjut apa itu kit ujian genetik dan apa manfaatnya di bawah!

Ilustrasi menunjukkan gambar sebuah keluarga bahagia

DULU NAK TAHU DATA GENETIK?  TEST SANA, TEST SINI DI PUSAT KESIHATAN

Kalau dulu nak tahu jenis darah apa pun kena pergi sekurang-kurangnya ke klinik. Ataupun dekat blood donation drive sebelum nurse benarkan darah diderma. Itu baru jenis darah, data kesihatan yang lain semestinya memerlukan proses yang panjang. 

Jadi bila ada teknologi yang memudahkan data kesihatan diri diakses ia merupakan satu inovasi yang boleh meningkatkan cara anda menjaga kesihatan dengan lebih baik! Tapi sebelum tu jom kita ketahui, apa itu sebenarnya ujian genetik. 

Apa Itu Kit Ujian Genetik?

Kit ujian genetik merupakan ujian kesihatan yang dapat mengenalpasti mutasi di dalam genetik, kromosom, atau protein. Ia merupakan satu kit mudah di mana anda hanya perlu mencalitkan air liur ke putik kapas yang disediakan. Kemudian poskan kit tersebut ke alamat yang ditetapkan dan tunggu keputusan. Keputusan kit ujian akan  memberikan laporan sama ada anda mempunyai risiko penyakit genetik atau tidak. 

Ia juga turut memberitahu peluang anda untuk mendapat penyakit tersebut atau menurunkannya ke generasi akan datang. Okay jom kita lihat apa manfaat-manfaatnya pula!

Manfaat-Manfaat Kit Ujian Genetik

Ini adalah manfaat kalau anda ada buat kit ujian DNA:

Tahu susur galur keluarga anda – Mungkin anda 10 peratus berdarah kacukan? Anda akan lebih faham mengenai sejarah keluarga anda dengan kit ini. Berdasarkan 6 wilayah geografi, anda boleh jejak nenek moyang anda berasal dari mana. Dengan cara ini anda akan dapat luaskan pandangan dan lebih tahu mengenai sejarah, budaya, dan menghargai ciri fizikal masing-masing!

Tangkap layar menunjukkan contoh keputusan susur galur mengikut peratus. Kredit imej daripada 23andme & CircleDNA.

Risiko penyakit dan mutasi genetik – Anda boleh mengetahui penyakit apa yang paling anda berisiko untuk hidapi. Ini dapat bantu anda faham risiko dan cara menguruskannya Contohnya, mutasi BRCA2 dapat dikesan melalui kit ujian genetik seperti 23andMe. Sekiranya ini berlaku, dapatkan pengesahan lebih lanjut dengan doktor dan pemeriksaan yang kerap harus dilakukan kerana mutasi ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mengidap kanser ovari dan/atau payudara. 

Tangkap layar menunjukkan antara risiko-risiko penyakit-penyakit  yang boleh dikenalpasti dengan ujian genetik. Kredit imej daripada circledna.

Mencari ahli keluarga – Pemberi khidmat servis kit ujian ini ada yang mempunyai bank data yang dapat memberi anda notifikasi sekiranya anda mempunyai saudara yang sepadan dengan genetik anda. Dah ramai yang menjumpai keluarga dekat dan jauh melalui kit ujian genetik ini tau. 

Ilustrasi menunjukkan seorang ibu dan anak yang sedang berlari untuk memeluk satu sama yang lain

Bantu rancang keluarga – Dengan kit ujian ini, anda dapat merancang keluarga dengan baik kerana anda dapat mengesan penyakit keturunan seperti talasemia. Kadangkala, anda dan pasangan tak sedar yang salah seorang atau kedua-dua merupakan pembawa penyakit genetik. Jika kedua-duanya pembawa penyakit genetik, besar kemungkinan anak yang lahir akan menghidapi penyakit genetik itu. Salah satu perkara yang boleh dilakukan sekiranya ia berlaku adalah memilih untuk membuat persenyawaan in-vitro (IVF) di mana embryo yang tidak mewarisi penyakit genetik boleh dipilih. 

Jadi, dengan kit ujian genetik, ia dapat membantu anda dan pasangan membuat keputusan dengan lebih baik.

Ilustrasi menunjukkan seorang pasangan yang sedang memikirkan untuk merancang keluarga

Perancangan diet yang sesuai – Anda dapat ketahui lebih lanjut mengenai alahan makanan dan juga nutrisi yang lebih sesuai diserap oleh genetik anda. Ini membantu anda untuk merancang diet yang lebih berkesan untuk gaya hidup yang lebih baik. 

Contohnya jika ada secara genetiknya memerlukan lebih banyak zat besi, jadi diet yang tinggi zat besi adalah lebih baik untuk anda. Jadi ini akan dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan anda!

Tangkap layar menunjukkan keputusan diet yang sesuai berdasarkan genetik. Kredit imej daripada circledna.

ANTARA KIT YANG BERADA DI PASARAN

Menarik kan, kalau anda nak cuba, ini antara yang ada di pasaran 

1. CIRCLE DNAinterface dan informasi yang mudah untuk dinavigasi

Tangkap layar menunjukkan jenis-jenis kit yang tersedia untuk dicuba

Ada pelbagai jenis kit yang anda boleh cuba daripada jenama ini. Anda boleh cuba yang paling premium di mana ia menguji dari segala aspek kesihatan seperti data kesihatan, perancangan keluarga, risiko penyakit dan diet. Atau lebih spesifik seperti data kesihatan sahaja atau data perancangan keluarga sahaja. Harga pelan serendah RM632 ke atas (setakat artikel ini ditulis).

2. 23ANDME – cari keluarga dari seluruh dunia

Seterusnya, anda juga boleh mencuba untuk menggunakan 23andme. Servis penghantaran jenama ini meliputi 2000 buah negara. Menariknya dengan jenama ini, anda boleh mengetahui saudara mara daripada seluruh dunia yang turut mengambil ujian ini melalui bank data mereka. Mungkin anda kenal mereka atau mungkin tidak. 

Jadi ini adalah satu cara jika and sedang mencari ahli keluarga yang hilang daripada radar. Harga pelan bermula dari USD99 atau RM422 (kadar pertukaran matawang sewaktu artikel ini ditulis).

Tangkap layar menunjukkan contoh keputusan hubungan saudara-mara yang boleh dilihat di dalam bank data 23andme. Kredit imej daripada 23andme.

3. ANCESTRY DNA – ketahui cerita nenek moyang anda

Ancestry DNA juga mempunyai pelbagai pakej mengikut tahap akses yang anda perlukan. Seperti namanya, Ancestry DNA lebih fokus kepada geneologi di mana anda boleh melihat susur galur seperti nama terakhir (biasanya hanya relevan kepada dunia barat), bagaimana hidup mereka pada masa dulu dan juga bagaimana untuk memulakan ‘family tree’ anda sendiri. Anda juga boleh mencari tarikh lahir, perkahwinan dan kematian (data yang tersedia mungkin lebih merujuk kepada dunia barat) di laman web mereka.

Tangkap layar menunjukkan apa yang boleh disemak di laman web AncestryDNA. Kredit imej daripada AncestryDNA.

4. MYPRECISEDNA – jenama tempatan pun ada juga

Ini pula salah satu jenama tempatan yang menawarkan servis kit ujian dari rumah. Antara keputusan yang boleh diterima seperti tangkap layar di bawah. Langkah-langkah jelas untuk menggunakan kit digambarkan di laman web dan keputusan akan dihantar dalam format PDF kepada anda. Harga kit bermula daripada RM868.00 (setakat artikel ditulis)..

Tangkap layar menunjukkan antara data kesihatan yang boleh diakses dengan kit ujian daripada myPreciseDNA. Kredit imej daripada myPreciseDNA

DATA KESIHATAN PUN DAH BOLEH DIAKSES MUDAH

Begitu mudahnya teknologi membantu kita untuk mengetahui asal-usul, risiko kesihatan dan diet yang sesuai untuk badan kita. Semua keputusan boleh dibaca melalui laman web di rumah sendiri tanpa perlu ke hospital. Sekarang, dah boleh perkasakan diri dengan maklumat teknologi terkini untuk manfaat diri sendiri seperti maklumat kesihatan menerusi ketersambungan jalur lebar dan capaian 5G.

Walaubagaimanapun, untuk pengurusan lanjut mengenai risiko yang telah anda pelajari, anda masih perlu membuat konsultasi dengan doktor. Terutamanya jika anda mempunyai mutasi genetik yang berbahaya. 

Jadi jaga diri dan jaga kesihatan anda!

Pilihan Menarik Untuk Anda