Peh, Serious La Banyak Ini Gaji Kerja Bidang Tech?

Teknologi & Kreatif

“Bestnya orang yang kerja tech. Gaji masyuk. Tapi aku background kreatif ar, tak reti benda-benda teknikal IT ni.”

Haa creative people, mesti anda pernah terdengar atau bermonolog macam ini. Iyalah bila anda tengok ramai yang bergaji best dalam bidang IT ini, mana tak berbulu je mata tu. Mesti  ada yang teringin nak tingkatkan pendapatan dengan masuk industri ini kan? Tapi boleh ke kalau tak ada degree dalam bidang IT ini, lagi-lagi budak kreatif. Haip, jangan sedih-sedih, ada sebenarnya tempat orang kreatif dalam industri IT.

Ilustrasi menunjukkan seorang wanita memanah ke arah skrin-skrin yang berbeza

Dengan zaman sekarang, literasi digital semakin meningkat naik dengan integrasinya dalam kehidupan seharian anda. Malah, penggunaan peranti yang kebanyakannya menggunakan skrin membuatkan aspek visual dan rekaan menjadi satu perkara yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah inovasi. 

Malah kalau anda perasan, kadangkala ia adalah main core satu-satu syarikat tech itu sendiri!Macam industri animasi. Okay jom kita lihat antara 5 jenis kerja dalam industri IT untuk sang kreatif.

#1 UI/UX DESIGNER (PEREKA PAPARAN PEMUKA & PENGALAMAN PENGGUNA)

Segala apa yang anda lihat di skrin peranti adalah tanggung jawab mereka. Sama ada rekaan aplikasi dan juga laman sesawang, Skil rekaan mereka yang akan menentukan sama ada pengguna akan setia menggunakan aplikasi ataupun tak.  Jika ikut definisinya, UI adalah User Interface iaitu rekaan susun atur laman sesawang dan aplikasi telefon pintar.  UI juga adalah sebahagian daripada UX (User Experience) di mana pengalaman penggunaan laman web atau aplikasi dinilai dari segi kelancaran, rekaan intuitif atau memeningkan kepala.

Ilustrasi menunjukkan dua orang pereka UI/UX sedang berbincang mengenai rekaan antara muka

Tugasan: 

Skop tugas UI merangkumi rekaan butang (button) untuk pengguna klik, jenis/saiz teks yang dibaca, gambar, slider, animasi, transisi dan apa saja yang pengguna boleh klik/tekan. Ini termasuk segala jenis elemen visual dan interaksi. 

Skop tugas UX pula memfokuskan kepada penilaian perjalanan pengguna dalam menggunakan aplikasi/laman web. Adakah rasa mudah dan intuitif? Adakah perjalanan memenuhi objektif yang dikehendaki? Contohnya, adakah mudah proses untuk add-to-cart dan menyempurnakan bayaran? Adakah mudah untuk mencari butang setting

Kedua rekaan ini berkaitan dan bergantung dengan satu sama lain. Tanpa rekaan UI yang baik dan tanpa maklum balas perjalanan pengguna (UX), aplikasi/laman web yang efektif sukar dicapai.

Skil kreatif:

  • Reka bentuk susun atur
  • Teliti
  • Kemahiran komunikasi visual
  • Typography 

Purata gaji di Malaysia:

Mengikut sumber Glassdoor,  purata gaji bagi pereka UX di Malaysia untuk pelbagai industri adalah RM24,400. Dengan permulaan kira-kira RM11,500 mencecah hingga RM36,000.

Tangkap layar laman sesawang  Glasssdoor bagi purata gaji pereka UX di Malaysia.

#2 WEB DEVELOPER (PEMBANGUN LAMAN SESAWANG)

Tanpa mereka tak ada laman web yang kita sedang nikmati ini. Senang nak cari maklumat dan mudah nak beritahu orang tentang bisnes masing-masing. Web developer ini ada yang membina kod front-end dan juga back-end. Paling utama, komunikasi dengan client untuk tahu keperluan mereka dan jenis rekaan apa yang mereka perlukan. 

Ilustrasi menunjukkan individu membuat analisa pilihan

Tugasan: 

Membangunkan atau/dan enyelenggara laman sesawang menggunakan kod dan input khusus lain. Jaga aspek teknikal seperti pengaturcaraan, kelajuan website dan kapasiti serta prestasi. Mereka juga mengetuai look dan feel keseluruhan website.

Skil Kreatif:

  • Reka bentuk grafik
  • Suntingan imej
  • Membangunkan wireframes laman web
  • Site mapping
  • Reka bentuk susun atur

Purata gaji di Malaysia:

Boleh dilihat  purata gaji bagi pembangun laman sesawang di Malaysia untuk pelbagai industri adalah RM7,400. Dengan permulaan kira-kira RM3,500 mencecah hingga RM25,000.

Tangkap layar laman sesawang  Glasssdoor bagi purata gaji pembangun laman sesawang di Malaysia.

#3 DIGITAL ANIMATOR (JURUANIMASI DIGITAL)

Daripada zaman kartun Mickey Mouse, ke Dragon Ball Z hinggalah ke zaman Ejen Ali sekarang. Itu semua adalah hasil kerja juruanimasi. Antara kerjaya yang mudah untuk orang kreatif beradaptasi terutamanya yang pandai dengan rekaan visual. Kerjanya mengambil input daripada pembuat cerita, pereka, pelakon suara dan sebagainya untuk menghasilkan filem, video game, iklan TV dan macam-macam lagi.

Ilustrasi menunjukkan perisian yang digunakan juruanimasi

Tugasan: 

Gunakan pelbagai perisian komputer untuk mencipta ilustrasi bergerak yang boleh digunakan dalam filem animasi seperti Mechamato, permainan seperti Final Fantasy atau iklan TV oleh Petronas sempena Deepavali 2021, Akka. Antara tugas lainnya adalah membangunkan konsep karakter animasi, latar belakang, pemandangan dan lain-lain. Kemudian juruanimasi juga bertanggungjawab membuat storyboard untuk panduan jalan cerita. 

Skil Kreatif:

  • Seni digital
  • Ilustrasi
  • Visualisasi
  • Animasi
  • Conceptualisation & Originality

Purata gaji Malaysia:

Khas untuk anda yang memang berlatar belakang reka grafik ilustrasi. Purata gaji semua industri adalah RM6,500. Dengan permulaan kira-kira RM2,500 mencecah hingga RM49,000.

Tangkap layar laman sesawang  Glassdoor bagi purata gaji juruaniamasi di Malaysia.

#4 SOFTWARE DEVELOPER (PEMBANGUN PERISIAN)

Nak tulis dokumen guna Microsoft Word, nak reka guna pakai Adobe Illustrator, nak edit gambar guna Snapseed. Senang kan? Tapi siapa yang membangunkan perisian itu semua? Pembangun perisian lah! Mereka ini memang mahir dengan bahasa yang kalau orang yang tak faham memang akan rasa bahasa itu alien. Tapi tidak bagi mereka, bahasa itu lah yang memungkinkan apa yang kita sedang nikmati sekarang ini.

Ilustrasi menunjukkan kemahiran bagi pembangun perisian

Tugasan: 

Software developer atau software engineer ini mencipta, menguji dan mewujudkan perisian untuk pelbagai aplikasi menggunakan kemahiran pengaturcaraan dan pengetahuan teknikal. Juga akan mereka-bentuk perisian yang dibangunkan (memerlukan kreativiti yang tinggi).

Skil:

  • Reka bentuk susun atur
  • Visualisasi
  • Kreativiti
  • Conceptualisation

Purata gaji di Malaysia:

Untuk anda yang berminat untuk lompat ke dalam jawatan ini, purata gaji semua industri adalah RM10,050. Dengan permulaan kira-kira RM4,400 mencecah hingga RM30,000.

Tangkap layar laman sesawang  Glassdoor bagi purata gaji pembangun perisian di Malaysia.

#5 GAME DESIGNER (PEREKA PERMAINAN) 

Tanpa game designer, tiadalah pemain. Salah satu hobi yang menghilangkan stres dan ada yang power sampai jadikan kerjaya, macam pemain e-sukan profesional itu. Jadi ini adalah kerjaya yang sangat penting dalam melahirkan game yang terbaru dan menambah baik game yang sedia ada. 

Ilustrasi menunjukkan pereka permainan video sedang bekerja. 

Tugasan: 

Mencipta, membangun dan menghasilkan permainan video, bekerja dalam satu pasukan termasuk developer dan animator. memerlukan tahap imaginasi, kreativiti dan pengetahuan yang tinggi tentang perkara yang menjadikan satu permainan itu bagus.

Skil Kreatif:

  • Reka bentuk
  • Kebolehan artistik
  • Visualisasi
  • Kebolehan bercerita

Purata gaji di Malaysia:

Bagi anda yang gemarkan permainan video dengan latar belakang reka bentuk grafik. Purata gaji semua industri adalah RM7,000. Dengan permulaan kira-kira RM3,000 mencecah hingga RM12,000.

Tangkap layar laman sesawang  Glassdoor bagi purata gaji juruanimasi di Malaysia.

ALTERNATIF SEMAK GAJI MENGIKUT UMUR DAN JAWATAN

Tak pasti kalau anda dibayar gaji yang sepadan? Selain boleh semak gaji pasaran di Glassdoor, Jobstreet, Michael Page, dan MyfutureJobs, anda juga boleh lihat di laman sesawang yang disediakan EIS PERKESO. Boleh lah anda dapat gambaran realiti gaji pasaran untuk satu-satu jawatan mengikut umur. 

Tangkap layar laman sesawang EIS PERKESO untuk padanan gaji dan umur bagi sesuatu jawatan.

MULAKAN LANGKAH ANDA

Sekarang dunia lebih menghargai kemahiran artistik golongan kreatif yang semestinya berharga untuk banyak syarikat. Tak perlu rasa buntu dan rendah diri, ada rezeki dan jalan jika ada kemahuan dengan maklumat di hujung jari.

Nak masuk ke dalam industri tech sebagai seorang kreatif, skil yang kurang boleh belajar sendiri dengan Google atau pengalaman bekerja. Ataupun belajar saja kemahiran di Youtube dan ikuti program  upskilling digital oleh kerajaan. Contohnya Pembangunan Perisian melalui Digital Skills For Tomorrow Jobs Program atau program Upskilling.

Anda juga boleh daftar melalui program GLOW daripada MDEC jika anda memilih untuk menjadi freelancer. Nah, nampak kan yang industri tech Malaysia juga dapat sokongan kerajaan. Itu satu petanda baik untuk anda mulakan kerjaya kreatif dalam industri informasi teknologi, IT ini. Haa dengan kertersambungan jalur lebar semua pun boleh jadi.

Selamat mencuba dan selamat maju jaya!

Pilihan Menarik Untuk Anda