Pengadil Bola Bias? Tak Lagi Dengan VAR.

Teknologi & Kreatif

“Woii masuklah!”, “Tak masuklah bro”, “Serius, aku nampak tadi bola masuk gol!” 

2022 dan 2023 memberikan pengalaman yang membezakan kepada peminat bola sepak dengan 2 kejohanan besar yang telah berlangsung.  Pertama adalah Piala Dunia Qatar 2022 pada November 2022 dan yang kedua Kejohanan AFF Mitsubishi Electric Cup yang turut disertai Harimau Malaya yang berlangsung pada Disember 2022 sehingga 16 Januari 2023.

Gambar menunjukkan bola yang melepasi gawang gol. 

Sebagai sukan nombor satu di Malaysia – dan yang paling popular di dunia – semestinya sukan ini tak lari daripada kontroversi. Terutamanya melibatkan pengadil.  Dalam sesebuah perlawanan bola sepak, terdapat 4 orang pengadil iaitu seorang pengadil utama, seorang pembantu pengadil, dan 2 orang pembantu garisan. 

Dengan beberapa isu kontroversi yang berlaku membabitkan keputusan pengadil dalam Kejohanan AFF baru-baru ini, ini sebab kenapa Malaysia perlu menggunakan teknologi VAR dalam perlawanan bola sepak. 

APA ITU VAR? 

Gambar menunjukkan pengadil dan tulisan VAR

Ia adalah pembantu pengadil video yang terdiri daripada pegawai perlawanan terlatih yang sedang menonton perlawanan berkenaan di suatu tempat. Mereka tak perlu berada di dalam, atau berhampiran stadium tetapi berpangkalan di satu pusat media atau control room

Mereka masih perlu berkomunikasi secara langsung dengan pengadil melalui radio jenis dua hala. Pasukan ini juga bertanggungjawab memantau perlawanan melalui kamera yang dipasang di stadium.  Pengadil boleh memeriksa siaran atau rakaman perlawanan secara langsung untuk melihat insiden dalam sebuah pertandingan bola sepak. Teknologi VAR kemudian meninjau tayangan siaran pertandingan secara normal atau memakai tayangan ulang dengan kecepatan diperlambat (slow motion) dari pelbagai sudut. 

Sistem ini mencipta sejarah apabila  digunakan secara rasmi pada kali pertama semasa aksi perlawanan akhir piala dunia Perancis menentang Croatia pada 2018 di Rusia yang dilaksanakan oleh pengadil dari Argentina, Nestor Pitana. Manakala teknologi ini pula dilesenkan oleh FIFA (Federation Internationale de Football Association). 

BAGAIMANA VAR BERFUNGSI? 

Ilustrasi menunjukan kedudukan kamera untuk teknologi VAR

Kontroversi melibatkan keputusan pengadil memang tak asing lagi dalam perlawanan bola sepak. Jika VAR dilaksanakan, sistem pengadilan yang lebih telus akan dapat dicapai. Ini cara VAR membantu pengadil membuat keputusan. 

  1. Pengesahan Jaringan Gol – VAR dapat memastikan dan mengesahkan jaringan sesuatu gol. Ia dapat menyemak jika terjadi sesuatu insiden gol tersebut dibatalkan seperti offside, penggunaan tangan, kesalahan menarik baju dan sebagainya.
  2. Pemberian Sepakan PenaltiDiving dalam kotak penalti untuk mendapatkan sepakan penalti boleh dikatakan sebagai satu ‘acara wajib’ dalam perlawanan bola. Dengan adanya VAR, insiden ini boleh ditangani dan pengadil boleh memeriksa ulang tayang dan berbincang dengan pasukan VAR untuk membuat keputusan. 
  3. Pemberian Kad Merah – Insiden kekasaran yang mendatangkan bahaya di antara pemain seperti perkelahian dan pelanggaran tubuh badan boleh menyebabkan seorang pemain di layangkan kad merah. Tetapi insiden ini selalunya tak dapat dijelaskan dengan terperinci. Maka VAR boleh membantu pengadil melihat insiden tersebut dan membuat keputusan yang adil.  
  4. Pengecaman Pemain – Keluasan padang bola dan jumlah pemain sebanyak 22 orang yang sedang bermain kadang kala boleh mengelirukan. Apabila terjadi sesuatu insiden kekasaran, VAR boleh membantu pengadil membuat pengecaman ke atas pemain bola yang terlibat agar kesalahan tak jatuh kepada pemain bola yang lain.

KENAPA VAR DIPERLUKAN DALAM PERLAWANAN BOLA SEPAK

Perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya baru-baru ini menjadi bukti kenapa teknologi ini perlu dilaksanakan dalam setiap perlawanan bola sepak. Jom kita tengok kontroversi dalam kejohanan Piala AFF Mitsubishi yang boleh dielakkan. 

  • Kontroversi kad merah berlaku apabila Vietnam dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-60 berikutan pelanggaran Azam Azmi dan Doan Van Hao yang berlaku dalam kawasan penalti pasukan Malaysia. 

Gambar menunjukkan pengadil melayangkan kad merah kepada pemain skuad Malaysia Azam Azmi.
  • Kontroversi jaringan Dominic Tan yang dibatalkan oleh pengadil semasa skuad Harimau Malaya menentang Thailand pada minit ke 55 kerana disyaki mengasari pemain lawan. 

VAR DI MALAYSIA

Dimaklumkan, FAM kini dalam proses penelitian dan perbincangan untuk menggunakan VAR dalam kempen Piala FA dan Piala Malaysia bagi saingan 2023. 

Tangkap layar menunjukkan keratan akhbar daripada Harian Metro berkenaan pengesahan penggunaan VAR oleh FAM

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga mendedahkan bahawa FAM dan Malaysia Football League (MFL) bersetuju untuk melaksanakan VAR dalam saingan Liga M musim depan. Perkara tersebut dikongsikan TMJ dalam satu ciapannya di Twitter pada Sabtu sejurus sahaja tamat perlawanan antara Malaysia dan Thailand. Menurut TMJ, perlaksanaan VAR itu sudah dipersetujui dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Tangkap layar menunjukkan ciapan  daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan penggunaan VAR dalam liga bola sepak negara.

TERUSKAN PRESTASI TANPA KONTROVERSI

Teknologi sememangnya memudahkan sesuatu aktiviti. Teknologi VAR ini akan membantu pengadil membuat keputusan yang lebih telus tetapi juga tidak menafikan keupayaan pengadil tersebut mengadili sesebuah perlawanan. Pada masa sama ia akan meningkatkan integriti dan kredibiliti seseorang pengadil tersebut. 

Dunia semakin melangkah ke arah digitalisasi dan ketersambungan jalur lebar, kita harus memanfaatkan teknologi yang diguna untuk membantu dan memudahkan pekerjaan kita termasuklah dalam bidang sukan. 

Majulah sukan untuk negara!

Pilihan Menarik Untuk Anda