“Jom lepak”
“Tak boleh la, aku tengah kerja”
“Kerja apa dekat rumah je manjang?”
Ha jangan tak tahu, sekarang ini ramai yang memilih untuk jana pendapatan dengan bekerja dalam bidang gig ekonomi. “Ekonomi gig” atau turut dikenali sebagai “Gig Economy” adalah satu trend sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu mengajikan pekerja sepenuh masa.
Dalam erti kata lain, anda menjadi freelancer yang berkemampuan untuk bekerja secara fleksibel tanpa perlu bekerja secara rutin 9-5. Ada kerja seperti ini? Dan bagaimana nak mula? Jawapannya ada. Salah satunya adalah program eRezeki.
APA ITU eREZEKI?
Program eRezeki membolehkan rakyat Malaysia menjana pendapatan tambahan dengan melaksanakan pelbagai jenis pekerjaan & tugasan-tugasan yang ditawarkan oleh pelbagai platform digital berasaskan Ekonomi Gig/Ekonomi Perkongsian. eRezeki adalah satu program yang dilaksanakan oleh agensi peneraju ekonomi digital Malaysia iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
SKOP KERJA eREZEKI
1. Kerja Mikro Digital
Tugas mudah yang melibatkan kemasukan data, pemprosesan imej atau tindakan yang memerlukan kemahiran yang tak khusus untuk dilakukan. Tugasan boleh dilaksanakan dan diselesaikan dalam masa beberapa minit. Contoh pekerjaan seperti :
- Memasukkan Data
- Menyemak & Mengesahkan Imej
- Perbandingan Barang & Perkhidmatan
- Berkongsi Maklumat Di Media Sosial
- Memaparkan Iklan
2. Kerja Digital
Platform dalam talian untuk freelancer diambil bekerja dan dibayar. Freelancer boleh menjadi individu, perusahaan atau syarikat sendirian berhad. Selepas pendaftaran untuk eRezeki, anda boleh memilih banyak pekerjaan dalam laman web yang disediakan. Setelah mendapat kerja dan menyelesaikannya, bayaran akan dipindahkan ke akaun bank anda. Perkara paling menarik adalah anda bebas bekerja dari mana-mana je atau bila-bila masa yang anda mahu dan dapatkan bayaran yang dipersetujui. Anda boleh memilih mana-mana kerja yang bersesuaian dengan kemahiran dan kepakaran anda. Contoh pekerjaan seperti :
- Pengaturcaraan
- Penterjemahan
- Rekaan Grafik
- Fotografi
- Penulisan
Tugasan atau kerja yang tak memerlukan kemahiran teknikal ICT seperti menjalankan kaji selidik menggunakan borang pertanyaan, menjalankan tugasan dan perkhidmatan domestik, di mana tugasan ini diberikan secara dalam talian, tetapi tugasan perlu dilakukan di luar rangkuman atas talian. Antaranya :
- Menghantar Barang
- Memandu Kereta
- Menjalankan Temu Duga
- Melengkapkan Kaji Selidik
- Kru Acara
- Juruelektrik
- Kru Pembersihan
- Jurujual
DAFTAR DAN MULA SEKARANG
Pendaftaran semudah 5 langkah sahaja.
- Layari: https://mdec.my/erezeki & klik pada butang pendaftaran.
- Isi maklumat dengan lengkap di ruangan yang telah disediakan dan tekan butang daftar.
- Semak e-mel anda dan sahkan pendaftaran anda melalui e-mel yang dihantar oleh portal eRezeki.
- Log masuk semula ke eRezeki.my dan lengkapkan butiran peribadi anda.
- Anda boleh mula mencari pekerjaan/tugasan yang bersesuaian.
MANFAATKAN EKONOMI DIGITAL
Dengan kestabilan infrastruktur jalur lebar, perkhidmatan seperti eRezeki boleh dimanfaatkan untuk anda semua. Ketersambungan jalur lebar di hujung jari. Pandai tekan, pandai cari makan. Semestinya ekonomi gig menawarkan kehidupan alternatif kepada semua. Ia menawarkan kebebasan dan fleksibiliti buat mereka yang menginginkannya. Selamat mencuba!