“Laa, Mitos Rupanya!” – Penyakit Jantung

Gaya Hidup & Kesihatan

“Eh kau ada dengar tak yang member si Salim tu meninggal hari tu sebab sakit jantung padahal umur dia baru 35 tahun” kata seorang lelaki kepada kawannya sambil menghisap vape.

“Biar betul kau ni, dia kan muda lagi. Takkanlah sakit jantung” balas rakannya sambil menghirup Ice Blended Mocha dan kemudian disambung dengan melahap Double Cheese Burger.  

Silap ini. Siapa kata orang tua je yang sakit jantung? Itu mitos tau. Iyalah, bila kita sembang pasal sakit jantung, mulalah banyak ‘fakta’ yang masing-masing cuba nak lontarkan. Jadi jom kita ketahui 5 mitos-mitos yang sering diperkatakan dan macam mana nak kekalkan kesihatan jantung yang baik :

#1 Orang Tua Je Kena Penyakit Jantung Ini!

Kalau ikut Pangkalan Data Kardiovaskular Kebangsaan (NCVD), kira-kira 24% daripada jumlah pesakit jantung berumur kurang 50 tahun. Yang lagi tak best bila statistik turut menunjukkan kes sakit jantung untuk yang berusia 40 tahun ke bawah makin meningkat.

Gambar menunjukkan seorang lelaki sedang mendapat serangan jantung.

Ini menunjukkan golongan muda mempunyai kurang kesedaran dalam menangani perkara ini. Mungkin dipengaruhi mitos atau seperti diperkatakan Dr Shahidi Jamaludin (Pakar Perunding Perubatan dan Jantung KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital), gaya hidup yang tak sihat seperti kurang bersenam, pemakanan yang tinggi lemak trans & gula dan amalan merokok atau menghisap vape

#2 Kalau Sakit Dada Mesti Sakit Jantung!

Sakit dada merupakan salah satu simptom penyakit jantung, itu betul. Tapi ia bukan satu-satunya simptom serangan sakit jantung. Ini kerana sakit dada merupakan simptom untuk banyak penyakit. Ada banyak lagi gejala untuk serangan sakit jantung seperti infografik di bawah. Kadangkala, anda juga boleh mengalami sakit jantung tanpa ada gejala sakit dada. Ini adalah keadaan yang dipanggil sebagai serangan jantung senyap (Silent Myocardial Infarction).

Gambar menunjukkan punca dan gejala sakit jantung. Kredit imej daripada Twitter @MyHEALTHKKM

#3 Jangan Makan Telur Kalau Tak Nak Sakit Jantung! 

Kalau doktor dengar ini, doktor pun akan geleng kepala. Telur ialah sumber protein yang mengandungi beta karotin, vitamin dan mineral yang boleh melawan keradangan. Telur juga ada kolestrol yang baik yang dapat seimbangkan hormon dan turut bantu turunkan glukosa dalam darah. Kata Dr Norman Mohd. Norawi, orang Jepun paling banyak makan telur dan negara mereka catat kadar paling rendah sakit jantung dalam dunia. Nahh ini maknanya mitos ini tidak tepat sekali. Jadi jangan takut untuk makan telur.

Gambar menunjukkan seorang wanita sedang memegang telur untuk dipecahkan ke dalam periuk.

#4 Aku Kan Kurus, Relakslah Takkan Kena Sakit Jantung Ni. 

Penyakit jantung tak mengira saiz badan. Jika anda kurus dan cergas pun, anda bermungkinan masih ada risiko untuk mengalami masalah jantung. Ini kerana faktor genetik menjadi faktor penyumbang seperti sejarah keluarga yang menghidapi penyakit jantung, diabetes, perokok, dan kolestrol yang tinggi. Jadi sesiapa pun perlu amalkan gaya hidup yang sihat dan lakukan pemeriksaan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun. Lupuskanlah mitos ini dari minda anda. 

#5 Sakit Jantung, Tak Payahlah Nak Bersukan. 

Jangan macam tu, jangan hentikan pesakit jantung daripada melakukan senaman atau bersukan. Sarankan mereka untuk bersukan dengan kadar intensiti sederhana untuk melancarkan peredaran darah, mengurangkan tekanan darah dan menguatkan otot jantung. Walaupun anda bukan penghidap, teruskan amalkan gaya hidup aktif kerana kajian menunjukkan senaman mengurangkan 21% risiko sakit jantung bagi lelaki dan dan 29% bagi wanita.

HAPUSKAN MITOS, PEKA DENGAN KESIHATAN DIRI

Jadi, nak kekalkan kesihatan jantung yang baik? Jom ikut 4 langkah ini:

1. Pemakanan Sihat & Pengurusan Stres: Back to basics. Amalkan gaya pemakanan yang seimbang dan pengurusan stres yang baik. Pada yang merokok atau vape, cubalah kurangkan perlahan-lahan. Kalau dah berazam nak berhenti,  boleh layari  infosihat.com untuk dapatkan bantuan Klinik Berhenti Merokok terdekat. 

2. Lebihkan Sayuran Berhijau, Buah dan Bijirin Penuh Dalam Diet: Jantung akan berfungsi dengan lebih baik dengan pengambilan sayuran hijau. Jangan lupa untuk kurangkan pengambilan kolesterol yang berlebihan dengan mengurangkan pengambilan makanan berminyak dan makanan segera.

Gambar menunjukkan pinggan suku-suku separuh

3. Pelbagaikan Jenis Senaman : 3 jenis senaman yang disarankan untuk kesihatan jantung adalah senaman aerobik, strength training dan senaman imbang. Tak pasti nak mula kat mana, boleh ikut rutin senaman ini di Youtube.

Gambar menunjukkan senaman aerobik sceara berkumpulan

4. Teknologi di Pergelangan Tangan : Pantau tekanan darah anda secara berkala. Ini penting untuk elakkan strok dan serangan jantung. Kalau ada smartwatch, lagi bagus! Ini akan membantu anda untuk sentiasa berhati-hati dan notifikasi akan muncul sekiranya jantung anda berdegup terlalu laju dan perlukan rehat. Sekiranya anda menghidap penyakit jantung, boleh juga dapatkan aplikasi seperti PulsePoint Respond dan Cardiio untuk pantau kadar degupan jantung.

KURANGKAN RISIKO PENYAKIT JANTUNG, AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT

Jadi jom jaga pemakanan, berhenti merokok/vape, mula bersenam dan terus amalkan gaya hidup yang lebih sihat. Bersama banteras mitos-mitos di atas dan mulakan langkah baru untuk kesihatan jantung yang lebih baik. Manfaatkan teknologi yang ada seperti wearables untuk memudahkan pantauan data kesihatan lagi-lagi dengan ketersambungan jalur lebar yang meluas di Malaysia. 

Untuk ketahui tips lebih lanjut mengenai kesihatan, kunjungi media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jaga diri, jaga kesihatan!

Pilihan Menarik Untuk Anda