Anda Mangsa Scam? Hubungi Talian 997

Gaya Hidup & Kesihatan

“Adik, Mak dah hilang RM100,000. Duit tu Mak nak buat rumah kat kampung, macam mana ni”. 

Apa yang perlu anda buat bila terima panggilan seperti ini? Semakin dunia menuju ke arah kemodenan dan digitalisasi, semakin bijak sindiket-sindiket beroperasi dalam talian. Setakat Jun 2022, statistik yang dikeluarkan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 10,468 kertas siasatan yang dibuka yang melibatkan kerugian bernilai RM362 juta melibatkan jenayah siber. Itu baru yang dilaporkan, bayangkan yang tak dilaporkan? 

Gambar menunjukkan seorang scammer memegang duit berlatarbelakangkan papan pemuka virtual.
Gambar menunjukkan seorang scammer memegang duit berlatarbelakangkan papan pemuka virtual

Dah jadi satu kebiasaan kalau anda dapat panggilan nombor tak kenal mesti terdetik, “harap-harap bukan scammer”. Apa yang patut anda buat ketika berada dalam situasi ini? Ini jawapannya. 

MODUS OPERANDI JENAYAH SIBER

Jenayah siber atau scammer dalam talian ini beroperasi dengan terlatih dan bijak di mana mereka mampu menyakinkan mangsa dengan janji-janji manis mereka. Terdapat pelbagai cara dan modus operandi yang sering digunakan oleh scammer ini. Antaranya ialah Scam LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), Scam peraduan telco, Scam Parcel dan banyak lagi. 

HUBUNGI TALIAN 997

Jika ini terjadi, anda haruslah segera menghubungi TALIAN 997 – Talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).  NSRC merupakan usaha sama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi. NSRC menghimpunkan sumber dan kepakaran daripada kesemua pihak ini bagi membanteras penipuan kewangan dengan lebih cepat dan berkesan.

Jika anda menyedari terdapat transaksi bank yang tak mendapat kebenaran atau tak diingini, anda harus segera menghubungi hotline bank atau hotline NSRC dengan mendail 997, yang boleh dihubungi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari, termasuk cuti umum. 

Selepas mendapat laporan, NSRC akan menyelaraskan tindak balas oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi mencegah mangsa daripada menghadapi kerugian kewangan selanjutnya; berusaha mengesan dana yang telah dicuri; menjalankan siasatan terhadap jenayah penipuan tersebut; dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.

Gambar menunjukkan poster promosi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Gambar menunjukkan poster promosi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)

SIMPAN NOMBOR 997 DALAM TELEFON ANDA SEKARANG

Secara keseluruhan, kita perlu berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada supaya kita tak terpedaya dengan taktik dan helah scammer. Ambil peluang ini dan ingat orang tersayang terutamanya ibu bapa jika mereka kurang celik teknologi; agar mereka dapat memberitahu anda apabila mereka menerima panggilan telefon atau mesej yang mencurigakan.

Perkasa literasi digital dengan mengambil tahu cara untuk mengelakkan anda menjadi mangsa jenayah siber. Maklumat lanjut berkenaan NSRC boleh didapati di sini.

Pilihan Menarik Untuk Anda