“Sin, macam senang je kau buat homestay ni, cuba ajar aku sikit”
“Ala senang je Akim, kau cuma perlu buat 4 langkah ni”
Ramai yang berniat untuk memulakan perniagaan homestay seperti situasi di atas. Namun, setelah hampir 2 tahun industri pelancongan tak dapat beroperasi, ramai usahawan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dalam industri pelancongan terpaksa berehat dan menutup sebentar perusahaan mereka. Ada juga yang gulung tikar. Namun, sesudah memasuki fasa endemik, industri pelancongan sudah dibuka dan perlahan-lahan menuju ke arah pemulihan.
Industri pelancongan juga semakin pulih. Ramai orang lepas geram dengan membawa keluarga atau diri sendiri melancong di dalam dan luar negara. Selain melancong, anda sebenarnya boleh ‘menumpang’ aktiviti melancong ini dan menjana pendapatan sampingan dengan menjadikan rumah anda sebagai sebuah homestay. Jadi ini adalah masa yang tepat untuk orang seperti Akim untuk mula dengan perniagaan homestay.
Nak tahu bagaimana anda boleh mula untuk menceburkan diri dalam industri pelancongan ini, terutamanya dalam industri penginapan seperti homestay? Ini perkara yang anda harus tahu untuk mula.
4 LANGKAH ASAS UNTUK MEMULAKAN HOMESTAY
1. Ruang dan lokasi
Buat keputusan tentang ruang yang nak dijadikan homestay. Rumah kediaman yang sudah ada atau anda sedang berkira-kira untuk mendapatkan aset baru. Kalau ingin cari baru, pastikan ia sesuai dengan bajet anda. Homestay ini ada pelbagai jenis, ada yang bajet, pertengahan ataupun high end. Ruang ini penting untuk anda membuat strategi marketing nanti. Lokasi juga memainkan peranan yang penting. Kalau di kawasan target pelancong, anda kena bersaing dengan hotel. Boleh fikirkan lokasi-lokasi alternatif seperti berdekatan pusat-pusat pengajian atau kawasan perkampungan yang menarik.
2. Modal
Anda juga memerlukan modal sekiranya ingin mendapatkan aset baru. Jika sudah ada kediaman sendiri, maka modal hanya untuk pengubahsuaian sahaja. Untuk pengubahsuaian, anda boleh check out Penjana Tourism Financing (PTF). Tapi anda perlu dapatkan lesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Boleh baca syarat-syarat penuh di SINI.
3. Strategi Pemasaran
Ini langkah seterusnya yang paling penting. Strategi pemasaran untuk memastikan homestay anda menjadi pilihan pelanggan. Bina laman web sendiri khas untuk homestay anda. Jangan lupa media sosial juga. Dengan ketersambungan jalur lebar dan dunia di hujung jari, anda kena manfaatkan capaian dan jaringan Internet ini. Strategi pemasaran yang lebih terperinci pula, anda boleh menggunakan iklan berbayar seperti FB ads, Google Ads, Youtube Ads dan banyak lagi. Untuk pemasaran dalam talian yang organik, anda boleh mencuba SEO.
4. Penyelenggaraan
Salah satu sebab kenapa pelanggan akan repeat ke homestay selain layanan yang mantap adalah infrastruktur homestay. Jadi kena sentiasa selenggara homestay anda. Ia akan melibatkan kos tetapi antara langkah yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan perbelanjaan penyelenggaraan adalah pilihan perabot. Pilih perabot yang kukuh dan tahan lama jadi anda tak perlu menyelanggara dengan kerap. Begitu juga dengan pendingin hawa yang perlu diselenggara dari semasa ke semasa supaya ia tahan lebih lama.
SELAMAT DATANG KE HOMESTAY ANDA
Ini adalah langkah asas untuk anda mulakan homestay. Banyak lagi ilmu dan info yang anda harus pelajari seperti pengurusan kewangan, pengurusan operasi, pemasaran dan banyak lagi. Anda juga boleh daftar dan masukkan homestay anda dalam AirBnb dan pelbagai lagi laman web ‘listing’ yang lain. Tetapi semua ini boleh dicari dan ditemui dengan carian Google.
Dengan info di hujung jari, kini semua boleh jadi. Bina bisnes homestay anda sendiri dengan tips di atas dan semoga berjaya!